MLADENOVIC (kanan) dan Garcia meraikan kemenangan mereka. - FOTO AFP
Reuters

PERANCIS mara ke final Piala Fed buat kali keenam selepas gandingan Caroline Garcia dan Kristina Mladenovic memenangi acara beregu dan menewaskan Romania 3-2 dalam aksi separuh akhir awal pagi tadi.

Kedua-dua pemain berusia 25 tahun itu mengatasi cabaran beregu nombor dua dunia, Simona Halep dan Monica Niculescu 5-7, 6-3, 6-4 untuk menamatkan perlawanan di hadapan penyokong sendiri di Rouen sekali gus mengakhiri impian Romania yang belum pernah mengecapi aksi final.

Perancis juara dua kali pada 1997 dan 2003 akan menentang Australia pada final yang berlangsung di negara itu pada 9-10 November depan.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung lebih awal di Brisbane, Australia yang diketuai Ashleigh Barty menewaskan Belarus, 3-2.

Garcia dan Mladenovic bergandingan kali pertama sejak mereka tewas kepada Republik Czech dalam acara beregu penentuan pada final Piala Fed 2016.

"Setiap perlawanan sangat hebat,” kata kapten Perancis, Julien Benneteau.

"Memang menjadi hasrat saya sebagai kapten menggandingkan mereka berdua, tidak sukar melakukannya. Final sudah pasti cabaran sukar buat kami. Tidak perlu kecewa jika kalah tetapi malam ini adalah detik istimewa kami.”

Romania yang hanya menang sekali ke atas Perancis pada Piala Fed 1976 mara ke separuh akhir selepas mengejutkan juara bertahan, Republik Czech di Ostrava pada Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 11:43 AM