PENG Soon (kiri) dan Liu Ying terkandas pada suku akhir Terbuka Malaysia awal bulan ini. — FOTO Syarafiq Abd Samad
Ferzalfie Fauzi


KEJOHANAN Badminton Asia yang bermula esok akan dijadikan pentas untuk meningkatkan kembali prestasi beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying selepas beberapa keputusan kurang memberangsangkan sebelum ini.

Peng Soon-Liu Ying menyedari mereka perlu bangkit segera sebelum kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula awal bulan depan.

Peng Soon mengakui prestasi mereka tidak seperti yang diinginkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Sebenarnya kami perlu mengekalkan ranking lapan terbaik dunia hingga Mei tahun depan,” katanya yang meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.


PENG Soon-Liu Ying ketika memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio tiga tahun lalu. — FOTO Fail

Peng Soon-Liu Ying yang kini menghuni ranking kelima dunia, bermula dengan cemerlang awal musim ini selepas menjuarai Masters Thailand.

Bagaimanapun, pada Terbuka Malaysia dan Singapura, kempen mereka disekat pada suku akhir.

“Melihat kepada undian di Wuhan, ia memang kelihatan agak mudah namun kami tidak boleh memandang mudah cabaran yang diberikan pemain lawan.

“Jika dapat melepasi pusingan pertama, kami akan berdepan pasangan China, He Jiting-Du Yue yang dilihat agak sukar,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Peng Soon-Liu Ying yang diletakkan sebagai pilihan kelima akan berdepan beregu Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Tan Wei Han pada pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 6:38 PM