KEPUTUSAN Anugerah Sukan Negara akan diketahui esok.
BERNAMA

JAWAPAN siapa dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2018 akan diketahui pada malam Anugerah Sukan Negara di Kuala Lumpur, esok.

Tahun ini, Jawatankuasa Pemilihan Majlis Sukan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Waitchalla RRV Suppiah, menerima 65 pencalonan untuk 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia.

Selepas melalui proses penapisan yang teliti, lima atlet lelaki dan lima wanita disenarai pendek untuk menjulang gelaran itu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk berangkat hadir dan seterusnya menyampaikan anugerah utama pada majlis yang akan diadakan di hotel terkemuka di ibu negara.

Debaran dirasai oleh lima calon lelaki dan lima calon wanita yang disenarai pendek, berdasarkan pencapaian cemerlang mereka di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Mereka mempamerkan pencapaian cemerlang pada dua temasya besar - Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang di samping pencapaian di kejohanan peringkat dunia.


CALON Olahragawan Negara. Dari kiri: Rafiq, Azizulhasni, Nafiizwan, Syarul dan Fauzi. FOTO fail NSTP

Jaguh boling negara, Rafiq Ismail dan Amy Kwan dari sukan gimrama disebut-sebut sebagai calon yang layak diberikan pengiktirafan selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan selepas masing-masing mencipta sejarah tersendiri.

Rafiq mengungguli senarai lima calon Olahragawan Negara diikuti atlet berbasikal trek Azizulhasni Awang, Nafiizwan Adnan (skuasy), Syarul Azman Mahen (bina badan) dan Fauzi Kaman Shah (pelayaran).

Berdasarkan pencapaian tahun lalu, Rafiq, 21, mencipta sejarah tersendiri menamatkan kemarau 39 tahun apabila membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan pada Kejohanan Boling Lelaki Dunia di Hong Kong, menewaskan pemenang pingat emas 2014, Dan MacLelland dari Kanada 217-204.

Kali terakhir Malaysia menang pingat emas dalam kategori lelaki pada kejohanan itu adalah pada 1979 di Manila menerusi gandingan trio JB Koo, Allan Hooi dan Edward Lim.

Rafiq turut cemerlang ketika penampilannya di Sukan Asia 2018 apabila meraih emas dalam acara Masters lelaki.

Baru-baru ini juga, Rafiq turut dianugerahkan sebagai Atlet Terbaik 2018 pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan (SAM)-100Plus.


CALON Olahragawati Negara. Dari kiri: Sivasangari, Siti Zalina, Li Lian, Safiyah Amirah dan Amy. FOTO fail NSTP

Bagi calon Olahragawati Kebangsaan pula, lima atlet disenarai iaitu S Sivasangari (skuasy), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (boling), Tan Li Lian (bina badan) dan Amy (gimrama).

Namun, tiga daripadanya dilihat berpotensi iaitu Amy, Siti Safiyah dan Siti Zalina yang menampilkan kelas tersendiri dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa sepanjang tahun lalu termasuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Siti Safiyah, 28, menyumbang pingat emas menerusi acara trio pada Sukan Asia di samping menyumbang pingat perak dalam acara berpasukan manakala Siti Zalina, 39, menyumbang pingat emas pada Sukan Komanwel dalam acara pairs serta meraih pingat emas Kejohanan Boling Padang Asia di Henan, China.

Kedua-dua atlet itu dilihat bersaing sengit dengan gimnas Amy yang melakukan kejutan di Gold Coast apabila menghadiahkan emas dalam acara riben dan membantu acara berpasukan meraih pingat perak.

Di atas kertas, Rafiq dan Amy dilihat memiliki peluang tetapi mereka terpaksa bersaing dengan beberapa calon yang turut melakar kecemerlangan di pentas antarabangsa dalam acara masing-masing sepanjang tahun lalu.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 11:11 PM