PASUKAN wanita negara (depan) sekadar meraih pingat gangsa. — FOTO ABF
Nor Hairulnizam Wahid


HASRAT skuad boling wanita remaja negara untuk mengungguli acara berpasukan pada Kejohanan Remaja Asia di Kuching gagal diteruskan apabila sekadar meraih pingat gangsa selepas blok kedua hari ini.

Biarpun mendahului saingan selepas blok pertama semalam, skuad wanita yang dibarisi Nurul Ayunni Junaidi, Nurul Alyssa Junaidi, Gillian Lim dan Nur Syazwani Shahar mengumpul 4,617 jatuhan pin berbanding Singapura dengan jumlah 4,664 jatuhan pin dan Korea Selatan, 4,628 jatuhan pin.

Kelmarin, gandingan Gillian dan Nur Syazwani meraih emas dalam acara beregu.

Lebih malang, skuad lelaki yang terdiri daripada Syazirol Shamsudin, Nevern Marcellinus, Hafiz Zainuddin dan Sharukh Amin Zulkifli tersingkir daripada kelompok tiga teratas yang dihuni mereka semalam.

Kejayaan menduduki tangga kedua selepas blok pertama gagal dipertahankan apabila mengumpul 4,780 jatuhan pin hari ini untuk berada di tangga kelima.

Tiga tangga teratas acara berpasukan lelaki diungguli Singapura dengan 5,123 jatuhan pin, Filipina (4,996) dan Korea Selatan (4,979).

Keputusan itu bagaimanapun tidak menghalang Gillian dan Hafiz untuk menduduki tangga kedua acara All-Events, masing-masing mencatat jumlah 3,609 dan 3,933 jatuhan pin selepas aksi perseorangan, beregu dan berpasukan.

Skuad negara akan meneruskan perjuangan dalam acara Masters esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 9:00 PM