TUJUH pasukan yang terlibat sedia mengemukakan rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam masa terdekat. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Tujuh pasukan yang dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 bersedia mengemukakan rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam masa terdekat.

Tindakan itu adalah kerana kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018 membabitkan pasukan Kuala Lumpur, Felda United, Melaka yang beraksi dalam Liga Super dan Kelantan, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang (Liga Perdana).

Malah Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei ini kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Semua pasukan yang dikenakan hukuman itu berhak membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari sehingga 29 April jam 5 petang.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, pihaknya akan mengemukakan surat rayuan kepada badan penganjur Liga Malaysia itu dalam tempoh terdekat.

“Kelewatan itu berlaku bukan sebab disengajakan oleh pihak KLFA, ia disebabkan kami mengalami perubahan pucuk kepimpinan. Ada banyak yang berlaku sejak kebelakangan ini tetapi KLFA akan berusaha keras untuk memastikan ia berjalan sebaik mungkin.

“Walau bagaimanapun ia bukan satu alasan di mana KLFA akan mengemukakan surat rayuan kepada MFL dan berharap MFL dapat mempertimbangkan rayuan kami,” katanya, di sini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah memberitahu pihaknya yang berdepan beberapa masalah domestik, turut mengemukakan rayuan.

Afandi berkata, KAFA yang sebelum ini menyaksikan pemotongan tiga mata di Liga Perdana atas arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan perjalanan mereka di Liga Malaysia berjalan lebih lancar.

“KAFA berdepan beberapa masalah domestik tetapi ia bukan satu alasan buat kami. Tanggungjawab tetap tanggungjawab dan kami sudah pasti menyerahkan surat rayuan kepada MFL selain berharap pertimbangan sewajarnya mengurangkan bentuk hukuman itu,” katanya.

Malah Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, PDRM, Sarawak serta Melaka diwajib menyerahkan dokumen atau pelan kepada MFL yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim ini dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang sudah diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman ini dibuat iaitu pada 22 Mei sebelum jam 5 petang.

Sekiranya dokumen-dokumen tersebut masih tidak diserahkan dalam tempoh diberikan, pemotongan sebanyak tiga mata akan dikenakan.

Sementara itu, Sarawak dan Pulau Pinang turut mengesahkan mereka akan menyerahkan surat rayuan kepada MFL selepas dikenakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada geran tahunan pada musim ini dan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua.

Manakala Felda United mengesahkan akan menghantar surat rayuan berserta dokumen hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:48 AM