TADIC (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di Amsterdam. - FOTO AFP
AFP

DUSAN Tadic memastikan impian Ajax merangkul gelaran treble dalam jangkauan apabila dua jaringannya membantu kemenangan 4-2 ke atas Vitesse Arnhem dan melonjak tiga mata di puncak Eredivisie Belanda, awal pagi tadi.

Ajax juara empat kali Eropah kini berada dalam momentum terbaik selepas mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sekali gus mengimbau era gemilang Johan Cruyff dan Total Football.

Mereka makin hampir menjuarai kejohanan dosmetik selepas meraih enam kemenangan berturut-turut hasil jaringan Hakim Ziyech empat minit sebelum rehat, dua penalti Dusan Tadic dan tandukan Matthijs de Ligt setengah jam sebelum tamat perlawanan.

Bagaimanapun, jurulatih Erik ten Hag mengharapkan pertahanan yang lebih kental ketika menentang Tottenham Hotspur di London dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara minggu depan.

Vitesse yang menduduki tangga ketujuh gagal memberi cabaran selepas tuan rumah mendahului 3-0 tetapi berjaya menjaringkan dua gol menerusi Navarone Foor danOussmana Darfalou.

Ajax yang turut mara ke final Piala Belanda menentang Willem II pada Mei depan bersendirian di puncak liga menjelang aksi pencabar terdekat, PSV Eindhoven menentang Willem, awal pagi Jumaat ini. Eindhoven berada di tangga kedua liga dengan 77 mata, tiga mata di belakang Ajax.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 12:45 PM