FELDA United duduki tangga tercorot Liga Super.

TEKANAN mula dirasai pengendali FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil apabila skuadnya kini berada di tangga tercorot Liga Super.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, beliau perlu mengatur strategi baharu untuk memerangkap lawan dan mencapai kemenangan sekali gus dapat mengubah nasib pasukan.

"Sudah pasti bukan saya sahaja, malah pemain dan pengurusan faham tekanan sedang dihadapi apabila pasukan berada di kedudukan tercorot (Liga Super) dan memerlukan The Fighters bangkit mempamer aksi lebih meyakinkan.

"Mahu atau tidak, kami tidak boleh membiarkan lawan terus mengutip tiga mata untuk mengelak FELDA United terus berada di zon penyingkiran," katanya.


NIDZAM (kanan) perlu cari idea baharu untuk mengubah nasib pasukan dalam Liga Super.

Selepas 10 perlawanan, The Fighters hanya menang sekali ketika menewaskan PJ City FC 1-0 dan mencatat empat keputusan seri serta tewas tiga kali.

Namun, penampilan The Fighters berbeza dalam saingan Piala FA apabila mereka layak beraksi di suku akhir saingan piala berprestij itu.

Mengulas pencapaian itu, Mohd Nidzam berkata, pasukan itu perlu kekal fokus dalam setiap perlawanan untuk meraih keputusan lebih baik.

"Biarpun saingan Liga Super dan Piala FA berbeza dari segi format, pemain perlu bekerja keras dan mengelak daripada melakukan kesilapan yang boleh memberi masalah kepada pasukan.

"Oleh itu, perlawanan dengan Melaka United Jumaat ini, diharapkan dapat mengembalikan keyakinan pemain untuk kembali mengutip mata di laman sendiri dalam saingan Liga Super," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 1:03 PM