PETER (lima kanan) menerima jersi Harimau Malaya sebagai cendera hati daripada Hamidin (lima kiri) selepas mengadakan pertemuan di Kota Kinabalu, hari ini. — FOTO Ryan Stanley
Ryan Stanley


PEMANGKU Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony berpendapat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seharusnya diberi kuasa penuh bagi mengendalikan pengurusan bola sepak di negara ini.

Katanya, sejak beberapa perubahan dilakukan sebelum ini, termasuk pembabitan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), banyak masalah yang sebelum ini tidak pernah berlaku timbul.

“Kalau anda mahu majukan bola sepak, bukan sahaja di Sabah, pengurusan perlulah diperbaiki dan yang paling penting perlunya satu badan yang mempunyai kuasa khusus.

“Sebagai contoh kalau anda lihat liga bola sepak di negara ini, sejak MFL mengambil alih, begitu banyak masalah yang timbul termasuk pengguguran pasukan dan ada juga yang menarik diri.

“Saya percaya sekiranya perkara ini mendapat bimbingan FAM serta dibuat secara teratur, ia mungkin boleh dielakkan,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, sejak pembabitan MFL dalam menguruskan Liga Malaysia, mula kelihatan ‘bibit’ perpecahan dan rasa tidak puas hati penaja utama hingga ada yang mahu menarik diri.

“Anda kena ambil ini sebagai iktibar kerana jika ia berlarutan, sudah pasti pembangunan bola sepak akan terjejas.

“Sudah tiba masanya FAM diberi kuasa sepenuhnya seperti sebelum ini, supaya pelan pembangunan bola sepak negara lebih teratur dengan kerjasama semua ahli gabungan di seluruh negeri.

“Apa yang saya nampak ketika ini adalah pertindihan kuasa dan kadang-kadang sekiranya pihak SAFA sendiri mahu menghantar surat, kami kurang jelas surat itu mahu ditujukan kepada siapa, sama ada MFL atau FAM,” katanya.

Sementara itu, Peter turut mempersoalkan kelewatan MFL mengagihkan geran tahunan kepada ahli gabungan FAM hingga menyebabkan pembangunan bola sepak di negeri terbantut.

“Dulu di bawah seliaan FAM, tidak menghadapi masalah, geran itu sepatutnya diberikan pada awal tahun tapi sekarang sudah mahu memasuki bulan Mei.

“Ini sesuatu yang tidak baik untuk pembangunan bola sepak, sekiranya kami ingin melahirkan lebih ramai pemain yang mampu menyumbang kepada negara, kami perlu penambahbaikan dari segi pengurusan,” katanya.

Terdahulu Peter mengadakan pertemuan dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Aminpagi tadi bagi membincangkan beberapa isu termasuk hala tuju bola sepak Sabah dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:10 PM