SHAHRUKH (kanan) bersama Nevern. — FOTO Facebook MTBC
Nor Hairulnizam Wahid


SHAHRUKH Amin Zulkifli bermula garang bagi blok pertama acara Masters Kejohanan Boling Remaja Asia di Kuching hari ini dalam laluan menempah tiket ke peringkat stepladder.

Shahrukh yang mengumpul 1,896 jatuhan pin mendahului pemain Singapura, Xavier Teo (1,855) dan Ivan Tse dari Taiwan (1,828).

Dua lagi pemain negara, Hafiz Zainuddin menduduki tangga kesembilan dengan 1,702 dan Nevern Marcellinus di tangga ke-15 dengan 1,538.

Bagi kategori wanita, Nur Syazwani Shahar masih berpeluang menghidupkan cabaran ke peringkat stepladder apabila menduduki tangga keempat dengan 1,726 selepas blok pertama.

Tiga tangga teratas ketika ini dikuasai dua pemain Korea Selatan dan seorang pemain Singapura.

Gillian Lim menduduki tangga kelapan dengan 1,619 diikuti pasangan adik-beradik Nurul Alyssa Junaidi dan Nurul Ayunni Junaidi masing-masing di tangga ke-12 dan 13 dengan 1,535 dan 1,532.

Permainan blok kedua kategori Masters membabitkan lapan game untuk mengesahkan tiket ke stepladder bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:44 PM