Skuad bowling negara menepati sasaran dua pingat emas. FOTO MTBC
Gillian (kanan) dan Muhammad Hafiz bersama pingat masing-masing. FOTO MTBC
Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@mediaprima.com.my


KONTINJEN negara berjaya menepati sasaran dua pingat emas dalam Kejohanan Bowling Remaja Asia di Kuching, berakhir hari ini apabila Gillian Lim mengesahkan pingat emas kedua negara sebaik mengungguli acara final stepladder wanita.

Gillian yang menduduki tangga tiga teratas terpaksa berdepan cabaran pemain Singapura Charlene Lim sebelum menewaskannya dengan jatuhan pin 200 berbanding lawannya dengan 191.

Gillian terus garang di final untuk membenam pemain Korea Selatan Shin Hyebin apabila melakukan 384 jatuhan pin manakala lawannya membuat 348 jatuhan pin.

Hajat untuk meraih emas ketiga menerusi final stepladder lelaki bagaimanapun tidak kesampaian apabila Muhammad Hafiz Zainuddin yang melakukan 427 jatuhan pin tewas kepada atlet Singapura Xavier Teo dengan 432 jatuhan pin.

Menurut Setiausaha Agung Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC), Maradona Chok kejayaan skuad negara pulang dengan dua emas, empat perak dan dua gangsa menepati sasaran meskipun menurut beliau atlet remaja negara sebenarnya mampu membawa pulang lebih daripada itu.

“Secara keseluruhan pencapaian skuad negara adalah memuaskan dan saya juga berbangga dengan kejayaan yang diraih skuad wanita kita dalam kejohanan itu,” katanya.

“Ini satu pencapaian baik yang boleh dijadikan motivasi menjelang Kejohanan Terbuka Malaysia yang berlangsung mulai esok, meskipun diakui mereka perlu berdepan saingan dua kejohanan berturut-turut.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 5:05 PM