LALITTA pasang impian beraksi di peringkat antarabangsa.
hmdigital

KUALA LUMPUR: “Berguru dengan sukan.” Demikian pegangan yang dikongsi penerima Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) – Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) – MILO 2018 yang diraikan baru-baru ini.

Menjulang nilai murni yang dapat dipupuk melalui sukan seperti kerja berpasukan, saling menghormati, daya usaha, cita-cita dan merendah diri, mampu membezakan antara juara dan pemenang dalam mengatasi cabaran menuju kegemilangan.

Bagi penerima Anugerah Emas, Aifa Azman, 17, sukan mengajarnya disiplin, pengurusan masa dan profesionalisme.

“Sukan mengajar saya supaya kalah seperti seorang juara. Kalah menang adat bertanding, namun lebih penting, cekalkan semangat dan kekalkan fokus pada sasaran,” katanya.

Bintang skuasy remaja kelahiran Kedah ini diiktiraf atas pencapaiannya muncul sebagai juara Terbuka Remaja British sebanyak tiga kali selain tiga gelaran Persatuan Skuasy Profesional (PSA) tahun lalu pada usia 16 tahun.

Dia adalah penerima Anugerah Emas wanita yang kedua selepas idolanya ratu skuasy negara, Datuk Nicol David.

Bagi Eddy Bernard, 18, yang bertanding dalam acara lompat jauh dan 100 meter, anak kelahiran Beluran, Sabah itu menjelaskan sukan memupuk kesabaran dan keazaman dalam dirinya.

“Pengajaran paling bermakna bagi saya adalah semangat juang supaya kekurangan diri tidak menjadi rintangan. Cita-cita saya untuk mewakili negara di Sukan Paralimpik Tokyo tahun depan,” katanya.


EDDY cemerlang di Sukan Para Asia Indonesia 2018.

Beliau menerima Anugerah Pendidikan Khas Putera yang mengiktiraf kecemerlangannya dalam pertandingan olahraga peringkat antarabangsa termasuk pingat emas dalam acara lompat jauh di Sukan Para Asia Indonesia 2018.

Sementara itu, pemenang Anugerah Pendidikan Khas Puteri, Lalitta Boon Ong, 16, percaya sukan mengajarnya supaya berdisiplin dan menghormati pihak lawan selain memupuk keazaman untuk berjaya.

“Saya percaya sukan dapat membawa saya pergi lebih jauh. Saya berhasrat untuk bertanding di peringkat antarabangsa satu hari nanti,” kata pelajar SMK Syed Sirajuddin, Perlis yang cacat penglihatan itu.

Selain atlet cemerlang, guru yang melatih mereka turut diberikan pengiktirafan pada majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2018 dengan R Ganesh, guru dan kaunselor di SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Kuala Selangor dinobatkan Anugerah Guru Berjasa Lelaki.

Selama 19 tahun, beliau menjadi jurulatih merentas desa, termasuk acara Merentas Desa Asia 2012 di Mongolia dengan sekurang-kurangnya 12 atlet bimbingannya menjadi juara kebangsaan dalam pertandingan MSSM.


AIFA

“Banyak iktibar saya pelajari melalui sukan. Menang atau kalah, sukan dapat dijadikan teladan untuk mengatasi sebarang cabaran dalam hidup,” katanya.

Lebih 40 tahun, MILO memainkan peranan penting sebagai rakan kerjasama KPM dan MSSM dalam menjayakan Anugerah Sukan KPM-MSSM- MILO.

Pengarah Eksekutif, Unit Perniagaan MILO dan Susu, Nestle Products Sdn Bhd Kumaran Nowuram berkata, “Seiring dengan matlamat kami untuk memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia agar maju bersama sukan, kami melancarkan MILO Aktif Negaraku, platform yang menyatukan semua program sukan MILO kegemaran ramai seperti MILO Hidup Bola, MILO Champions Clinic dan MILO Activ Jam Senam Aerobik, selain program-program sukan di bawah inisiatif 1Murid 1Sukan dan MSSM dengan kerjasama KPM.

“Inilah seruan kami kepada rakyat Malaysia untuk mengekalkan gaya hidup aktif dan sihat.”

Tambah beliau, penerima anugerah tahun ini menunjukkan prestasi cemerlang yang mencerminkan penghayatan sebenar pegangan MILO untuk berguru dengan sukan.

“Kami merakamkan setinggi tahniah kepada juara ini dan berharap kejayaan diraih terus membakar semangat mereka dan mendorong rakan sebaya serta rakyat Malaysia di luar sana mencapai kegemilangan dan kekal aktif dengan sukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 6:48 AM