NIK Akif (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini. — FOTO BERNAMA
Attirmidzie Rahman


KELANTAN bangkit daripada episod malang di laman sendiri apabila menang tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

The Red Warriors memecah kebuntuan selepas setengah jam aksi apabila Nik Akif Syahiran Nik Mat menyambut hantaran leret Flavio Beck Junior sebelum merembat ke penjuru kiri gol lawan sekali gus menewaskan Hazrull Hafiz.

Tuan rumah menambah gol kedua pada minit ke-42 menerusi Azwan Aripin yang bijak membuat larian solo dari bahagian kiri tengah padang melakukan rembatan deras dalam kawasan penalti yang terus menerjah gawang gol pelawat.

Pelawat bagaimanapun tidak menunggu lama untuk merapatkan kedudukan menerusi gol Ndumba Makeche dua minit selepas rehat.

Gol itu terhasil menerusi sepakan percuma ketua pasukan, Kang Seung Jo yang tertampan pertahanan tuan rumah sebelum mudah dirembat masuk Makeche.

Selepas 10 perlawanan liga, Kelantan berada di tangga kedua tercorot dengan tujuh mata manakala Pulau Pinang di tangga kesembilan dengan lapan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 12:02 AM