Naomi Osaka dari Jepun meraikan kemenangan di peringkat suku akhir ke atas Donna Vekic di Kejohanan Grand Prix Tennis Porsche Tennis di Jerman. FOTO EPA.
AFP

PEMAIN nombor satu dunia, Naomi Osaka membalas kritikan terhadapnya selepas bangkit mencatat kemenangan dramatik ke atas, Donna Vekic di Kejohanan Grand Prix Tenis Porsche di Stuttgart, Jerman, pagi ini.

Ia kejayaan pertama kali dalam sejarah kariernya berjaya mara ke peringkat separuh akhir di gelanggang tanah liat di Stuttgart, Jerman.

Pemain kelahiran Jepun berusia 21 tahun itu bangkit daripada ketinggalan 1-5 dalam set akhir untuk menewaskan Vekic 6-3, 4-6, 7-6 (7/4) namun menafikan dia masih bergelut dengan prestasi pada tahun ini.

“Saya tidak tahu mengapa orang mengatakan saya berdepan musim yang teruk,” katanya. “Saya menang Terbuka Australia, kan?”

Di sebalik kejayaan memenangi gelaran kedua Grand Slam di Melbourne, Naomi dilihat gagal melangkah ke separuh akhir dalam beberapa kejohanan disertai sebelum bangkit di Stuttgart, ia termasuk tersingkir awal dalam saingan di Dubai, Indian Wells dan Miami.

Dia mengakui kekalahan itu, dan tekanan sebagai pemain nombor satu turut mempengaruhi persembahannya.

“Saya mungkin tipu jika katakan saya tidak ambil kisah mengenainya. Kamu boleh bercakap kerana saya menjadi tumpuan ketika beraksi di gelanggang, tidak seperti suatu masa dulu, jika saya melakukan kesilapan, saya hanya membiarkan ia berlalu.”

“Apabila saya berada di prestasi terbaik, saya bangkit dan mahu cabaran baru. Dalam fasa ini, saya berasakan mahu meneruskan cabaran dan cuma hanya mahu mencatat kemenangan.

Naomi berkata, dia hanya cuba memikirkan ‘perkara logik’ apabila mendapati berada dalam situasi hampir ditewaskan pada suku akhir awal pagi ini.

“Saya cuba untuk tidak cemas lagi, kerana ia boleh menjejaskan tenaga,” katanya.

“Saya hanya memberitahu kepada diri sendiri bahawa saya tidak datang jauh dari sini dengan pelbagai penyesalan di kemudian hari.”

Pada peringkat separuh akhir, Naomi akan berdepan pemain Estonia yang juga pilihan ke lapan, Anett Kontaveit.

Anett mara ke peringkat empat terakhir selepas lawannya bekas pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka menarik diri ketika perlawanan set akhir berikutan mengalami kecederaan bahu.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” kata Anett menjelang pertembungan separuh akhir berdepan Naomi.


Aksi pemain Republik Czech, Petra Kvitova di Kejohanan Grand Prix Tenis Porsche di Jerman. FOTO EPA.

Naomi tidak boleh kehilangan status nombor satu di Stuttgart, namun dia melihat peluang untuk mengekalkan mata selesa untuk mendahului pemain nombor tiga dunia, Petra Kvitova yang turut mencatat kemenangan di suku akhir.

Petra menewaskan pemain Latvia, Anastasija Sevastova 2-6, 6-2, 6-3.

“Ia perlawanan yang sukar hari ini, tetapi saya sangat gembira untuk berada di separuh akhir. Saya rasa baik dan sihat,” kata Petra yang akan berdepan pemain Belanda yang juga pilihan ke enam kejohanan Kiki Bertens.

Kiki menewaskan pemain pilihan tuan rumah dan penyandang juara, Angelique Kerber 6-3, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 10:30 AM