Pemain Melaka United, Safiq Rahim (kiri) diasak pemain Felda United FC, S Chanturu pada aksi perlawanan Liga Super. FOTO BERNAMA.


JURULATIH FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil akan memastikan kelab itu kekal bersaing dalam Liga Super, musim depan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, lapan mata daripada 11 perlawanan memerlukan The Fighters bekerja keras untuk mengelak di zon penyingkiran. "Justeru, saya mahu pemain bangkit dengan prestasi lebih padu sebaik beraksi di pusingan kedua liga.

"The Fighters perlu berganjak untuk mengelak di zon penyingkiran untuk memastikan kami kekal di Liga Super musim depan," katanya.

Mengulas kejayaan mengutip satu mata selepas seri 1-1 dengan Melaka United malam tadi, Mohd Nidzam memuji kebangkitan yang dilakukan pada babak kedua perlawanan.

Katanya, walaupun ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Patrick Reichelt minit ke-15 namun pemain berjaya bangkit memberi tekanan apabila Kei Ikeda menyamakan kedudukan menerusi penalti minit ke-62.

"Motivasi pemain juga bagus terutama pada babak kedua untuk memastikan kita tidak tewas kepada Melaka United," katanya.

Sementara itu, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan terkilan kerana skuadnya gagal merekodkan kemenangan ke atas FELDA United.

"Pemain sudah berusaha untuk menambah jaringan dan memiliki beberapa peluang tetapi kesilapan pada babak kedua apabila tuan rumah memperoleh sepakan penalti, ia memadam misi kami untuk mengutip tiga mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 2:08 PM