POSA
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: “Kalau ikut musim lalu memang kami kena ambil insurans keselamatan perjalanan bawah MFL (Liga Bolasepak Malaysia). Tapi musim ini kami tak tahu apa status kerana kami bimbang jika ambil insurans luar akan dikenakan tindakan.”

Demikian penjelasan jurulatih sebuah kelab Liga Malaysia (Liga M) yang mengesahkan pasukannya belum lagi dilindungi insurans perjalanan tahun ini.

Beliau yang enggan mendedahkan nama dan pasukannya berkata, kebimbangan mengenai keselamatan ketika berkunjung ke venue perlawanan sentiasa bersarang di fikirannya terutama memikirkan risiko insiden tidak diingini.

“Kalau sebelum ini insurans memang MFL sediakan.

“Mereka akan menolak daripada geran tahunan yang dijanjikan dan kami hanya menerima bakinya saja.

“Walaupun sebenarnya insurans MFL itu lebih mahal berbanding panel insurans di luar, kami terpaksa akur juga mengambilnya kerana ia diwajibkan kepada semua 24 pasukan.

“Musim lalu geran diterima pada bulan April, tetapi sudah nak masuk bulan Mei status geran masih belum diketahui, maknanya mungkin pasukan tidak dilindungi insurans,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya enam atau tujuh pasukan yang beraksi dalam Liga M didakwa tidak mempunyai insurans perjalanan ke stadium lawan sekali gus memungkinkan risiko ‘mati katak’ jika berlaku insiden tidak diingini.

Mendedahkan senario mengejutkan itu, Posa berkata, ketiadaan insurans perjalanan membabitkan pasukan berkenaan ada kaitan dengan masalah kewangan yang dihadapi MFL terutama selepas Telekom Malaysia (TM) menarik diri daripada menjadi penaja utama.

“Bagaimanapun, insurans kecederaan ketika bermain terpaksa kami ambil sendiri. Cuma rasanya insurans perjalanan memang tak ada sebab ia bawah panel MFL,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 7:00 AM