MOHAMAD Norza mengetuai panel pemilihan Sukan SEA ke-30. FOTO: Mohamad Shahril Badri Saali
Azlan Muhammad Zain


Atlet negara hanya mempunyai baki kira-kira dua bulan untuk menghasilkan keputusan terbaik sebelum dipertimbangkan bagi menyertai kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina, hujung tahun ini.

Atlet diberikan tempoh sejak 1 Julai 2018 sehingga 30 Jun nanti bagi membuktikan kemampuan serta sebagai kayu pengukur untuk layak dipertimbangkan ke temasya dwitahunan itu.

“Jadi pada Julai, kita akan mengadakan pemilihan sama ada mereka tersenarai dalam kategori A atau B kerana menjelang September nama akan dihantar kepada pihak penganjur. Tempoh 12 bulan adalah bagi menilai prestasi atlet,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA ke-30, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau mengetuai panel pemilihan yang terdiri daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli serta dua ahli bebas Datuk Sieh Kok Chi dan Tan Sri Dr M Jegathesan.

Malaysia memutuskan untuk menyertai 51 dari 56 jenis sukan yang dipertandingkan pada edisi ke-30 di Filipina dengan senarai awal pada Mac lalu menyaksikan Malaysia menyenaraikan sehingga 824 atlet.

“Proses pemilihan kali ini adalah jelas dengan atlet perlu berada dalam kedudukan tiga terbaik untuk berada dalam kategori A manakala lapan terbaik bagi tersenarai dalam kategori B (peringkat Asia Tenggara),” tambahnya.

Kategori A akan menyaksikan atlet berkenaan akan ditanggung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) manakala perbelanjaan ditanggung persatuan bagi yang berada dalam kategori B namun akan dibayar semula oleh badan berkenaan sekiranya memenangi sekurang-kurangnya gangsa bergantung kepada kriteria tertentu.

Sementara itu Norza turut menolak sebarang kebimbangan terhadap keupayaan Filipina menjayakan Sukan SEA dengan menjelaskan Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Setiausaha Agung, Datuk Mohd Nazifuddin Najib sudah diberikan penjelasan mengenai perkara itu.

“Mereka baru pulang daripada menghadiri mesyuarat exco Persekutuan Sukan SEA (SGF), hanya besbol wanita digugurkan dengan sukan lain dikekalkan. Mereka juga memberi kepastian dan sudah mendapat peruntukan untuk melaksanakan Sukan SEA,” tambahnya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 6:46 PM