X
AKSI pemain wanita dalam misi mara ke final Piala Tun Sharifah Rodziah 2019.
AKSI pemain wanita dalam misi mara ke final Piala Tun Sharifah Rodziah 2019.
Meor Riduwan Meor Ahmad


SKUAD wanita Melaka mendapat ‘tonik’ dalam misi mara ke final Piala Tun Sharifah Rodziah 2019 buat tahun kedua berturut-turut menerusi kemenangan selesa, 3-0 ke atas Kedah di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang hari ini.

Selepas tiga perlawanan, anak didik bekas Penolong Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan, Jamil Hassan, kini berkedudukan ketiga di carta liga apabila mengumpul lima mata hasil seri bertemu Selangor (1-1) dan PDRM (2-2) dalam perlawanan terdahulu.

Naib juara Piala Tun Sharifah Rodziah tahun itu dijadual bertemu ATM di tangga keempat apabila liga bersambung 28 Jun ini.

Pengurus pasukan, Siti Faidul Maisarah Abdullah mengakui berpuas hati dengan persembahan pemainnya yang semakin menunjukkan persefahaman.

“Pencapaian skuad ini semakin baik tapi saya faham mereka mencari rentak bagi setiap permainan.

Namun saya harapkan 100 peratus daripada mereka dan keputusan positif dalam setiap perlawanan.

“Kemenangan ke atas Kedah hari ini ibarat membalas kekalahan kami di final tahun lalu, tapi kami tidak boleh menarik nafas lega kerana ada banyak lagi perlawanan perlu diharungi,” katanya ketika dihubungi.

Siti Faidul Maisarah berkata, pasukannya kini diperkuat dengan kehadiran beberapa pemain import dari Sabah yang tidak bertanding tahun ini.

“Semua pasukan bertanding adalah pencabar bagi kami. Justeru setiap pemain diingatkan tidak ambil mudah dan menjadikan setiap perlawanan sebagai perlawanan akhir.

“Kami juga realistik kerana semua pasukan bertanding lebih bersedia kali ini dan berusaha memberikan yang terbaik,” katanya lagi.

Sebanyak tujuh pasukan bertanding merebut piala berprestij itu dengan PDRM mendominasi saingan setakat ini dengan tujuh mata manakala Kelantan di tangga tercorot (1 mata).

Turut bersaing, adalah Kedah yang mengumpul enam mata, diikuti Melaka dan Selangor yang berkongsi lima mata, ATM (4 mata) dan Perak (3 mata).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 1:19 AM