HAMIDIN mahu penggiat sukan memanfaat WFS Asia. FOTO/NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


PERSATUAN bola sepak di negara ini perlu memaksimumkan kehadiran penggiat sukan itu dalam Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia (WFS) Asia yang berlangsung dua hari di ibu negara bermula hari ini.

Gesaan itu dibuat Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ketika berucap di sidang itu.

Katanya, WFS Asia yang julung kali diadakan di negara ini adalah peluang terbaik buat ahli gabungan mengikuti trend dan isu terkini berkaitan bola sepak.

"Saya menggesa pemimpin bola sepak Malaysia untuk bertukar-tukar pendapat dengan peserta dan secara tidak langsung mencari ilmu pengetahuan sebanyak mungkin dalam mengikuti trend dan isu terkini.

"Dengan mengadakan sidang kemuncak di Kuala Lumpur, Malaysia dan Asia akan mendapat manfaat memandangkan ramai tokoh dan pakar bola sepak terbaik berkumpul untuk bertukar pendapat antara satu sama lain buat julung kalinya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ini kali pertama WFS diadakan di luar Eropah berikutan tiga edisi sebelum ini diadakan di Madrid. Hamidin berkata, maklum balas diperoleh daripada edisi sebelum sidang kemuncak di sini sangat positif.

"Secara peribadi, selepas menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia di Madrid sebanyak dua kali sebelum ini, saya merasakan dialog dan perbincangannya mampu membuka kesedaran serta bernilai.

"Sama ada topik perbincangannya merangkumi pengurusan kewangan mahupun mekanisme cukai agar seiring dengan arus perdagangan komersial bola sepak sekarang, bagi saya sidang kemuncak ini adalah tempat terbaik untuk semua pemimpin bola sepak," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut berharap dapat mengetengahkan langkah untuk membuka pelaburan baru dalam perkembangan bola sepak menerusi penajaan baru.

"Saya percaya kebanyakan hadirin pasti ingin mengetahui pentingnya pertambahan dan realiti maya hari ini serta seberapa banyak data yang dapat diterokai dengan lebih terperinci.

"Terima kasih kepada penganjur kerana memilih Kuala Lumpur sebagai tuan rumah dan diharap ini bukan yang pertama dan terakhir," katanya.

WFS Asia dijangka dihadiri lebih 2,000 pengamal bola sepak dan 60 penceramah dan setakat ini 30 wakil ahli gabungan FAM sudah mengesahkan kehadiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 6:46 PM