PASUKAN Melaka United meraikan jaringan gol ketika menentang Kedah pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Hang Jebat, Krubong.
Syazwan Msar


BIMBANG wang geran dipotong seterusnya dikenakan sekatan pembelian pemain pada jendela perpindahan kedua nanti, tujuh pasukan yang dikenakan hukuman terbabit bertindak cemerlang dengan menghantar surat rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum tarikh tutupnya 12 tengah malam ini.

Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) mendahului pasukan lain menghantar surat rayuan apabila mengemukakan dokumen berkenaan sebelum tarikh pengumuman hukuman terbabit.

Perkara itu disahkan Naib Presiden MUSA, Mohd Ashiq Abd Samad yang menyatakan pihaknya sudah mengetahui terlebih dahulu perkara terbabit dan terus membuat rayuan bagi meringankan hukuman.

Selain itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa juga turut mengesahkan surat rayuan kepada pengurusan liga itu sudah dihantar Jumaat lalu bagi memberi ‘peluang kedua’ kepada pasukan berkenaan untuk membuat pembelian pemain.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani pula mengatakan pihaknya sudah menghantar surat rayuan menerusi emel pada minggu lalu sekali gus menolak desas-desus mengatakan pengurusan liga negeri itu tidak mengambil berat mengenai hukuman berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang Dastagir Mohd Yassin juga memberitahu pihaknya memandang serius hukuman terbabit seterusnya menghantar surat rayuan seperti yang diminta oleh MFL.

Tiga lagi pasukan FELDA United, PDRM dan Sarawak juga sudah mengesahkan menghantar surat rayuan sebelum tarikh tutup bagi meminta jasa baik MFL mempertimbangkan untuk kurangkan hukuman yang dikenakan kepada mereka.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan tujuh pasukan Liga Malaysia dikenakan tindakan pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 hanya kerana gagal mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember tahun lalu.

Pasukan berkenaan adalah membabitkan tiga pasukan daripada Liga Super iaitu Kuala Lumpur, FELDA United dan Melaka manakala selebihnya adalah Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang (Liga Perdana).

Lebih malang lagi lima daripada tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Selain itu, lima pasukan terbabit termasuk Melaka juga diwajibkan untuk menyerahkan dokumen atau pelan kepada MFL yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 8:46 PM