VAN Dijk tak terfikir saingi Messi. FOTO/AGENSI
AFP

VIRGIL van Dijk dimahkotakan sebagai Pemain Tahunan Liga Perdana Inggeris oleh rakan pemain semalam, namun pertahanan Liverpool itu menegaskan dia tidak terfikir untuk menyaingi Lionel Messi untuk memenangi Ballon d'Or.

Van Dijk akan berdepan pemenang lima kali Ballon d’Or itu apabila Liverpool berkunjung ke Barcelona untuk aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.

Messi menjaringkan 46 gol musim ini ketika Barca menjulang satu lagi trofi La Liga dengan baki tiga perlawanan dan berada di landasan tepat untuk menjulang gelaran liga, Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara.

“Saya tidak terfikir langsung mengenainya,” kata Van Dijk mengenai prospek menyaingi Messi.

“Ada pemain berada pada tahap luar biasa dan mereka melakukannya sejak bertahun lamanya.

“Saya amat gembira dengan apa yang saya lakukan ketika ini, konsistensi, juga tahap kecergasan. Saya fikir saya tidak perlu melihat terlalu jauh.”

Liverpool berkunjung ke Camp Nou selepas menang 10 perlawanan berturut-turut semua kejohanan namun masih belum mampu mengatasi Manchester City di puncak Liga Perdana Inggeris.

Anak buah Juergen Klopp hanya ketinggalan satu mata berbanding juara bertahan itu dengan baki dua perlawanan dan perlu berkunjung ke Newcastle di antara dua perlawanan menentang Barcelona.

“Ketika ini kami berada dalam saingan sengit separuh akhir Liga Juara-Juara menentang pasukan hebat di mana hanya pemain terbaik beraksi dan kami hanya menghadapinya satu demi satu,” kata Van Dijk.

“Bagi kami, ini adalah masanya untuk fokus kepada Barcelona sebelum berdepan perlawanan penting menentang Newcastle di tempat lawan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 10:07 PM