Aksi bintang Real Madrid, Gareth Bale (kanan) pada saingan La Liga minggu lalu. FOTO EPA.
AFP

GARETH Bale masih ‘100 peratus’ memberi komitmen kepada Real Madrid biarpun spekulasi mengaitkan perpindahan bintang Wales makin hangat.

Bekas pemain sayap Tottenham itu dikaitkan kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris selepas mengharungi musim sukar di kelab gergasi Sepanyol itu.

Pemain berusia 29 tahun itu menjadi tumpuan apabila timbul laporan yang mendakwa hubungannya dengan rakan lain dingin tambahan pula Real berdepan siri kekalahan yang teruk musim ini.

Bale beraksi 90 minit mengalami kejutan terbaru apabila Real tewas 0-1 di tangan pasukan bawahan, Rayo Vallecano, pada Ahad dan bos Madrid, Zinedine Zidane kemudian mempersoalkan sama ada Bale benar-benar fokus pada perlawanan itu.

Ejen Bale, Jonathan Barnett pantas mempertahankan masa depan anak buahnya dengan memberitahu BBC Sport Wales: "Gareth 100 peratus komited bersama Real Madrid."

Mengulas mengenai beberapa khabar angin sebelum ini, dia menegaskan Bale menyatakan mahu meluangkan sepenuh kariernya bersama Madrid, Tambah Barnett : "Tiada apa-apa perubahan.”

Kecewa kerana sering kali gagal mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan sehingga hujung musim lalu, Bale seperti memberi bayangan untuk meninggalkan kelab berkenaan.


Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane. FOTO Reuters.

Bale pernah menyuarakan hasrat kepada media selepas menjaringkan dua gol pada final Liga Juara-Juara tahun lalu menewaskan Liverpool.

Kontrak Bale bersama Madrid masih sah hingga 2022, namun kepulangan Zidane mengemudi semula Real menguatkan khabar angin berkenaan susulan hubungan kurang mesra mereka berdua.

Biarpun membantu Real memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara dan satu trofi La Liga, Bale menjadi sasaran kecaman di kalangan penyokong Real susulan prestasi hambarnya akibat masalah kecederaannya musim ini.

Zidane baru-baru ini pernah mengeluarkan amaran kepada bintang Real yang tidak gembira dengan kelab itu boleh ‘angkat kaki dan mencuba nasib di tempat lain’.

Berikutan itu, Manchester United dan Tottenham antara kelab yang dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain itu jika dia benar-benar mahu meninggalkan Bernabeu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 9:16 AM