Perlis FC wajar diberikan peluang. FOTO NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PERSATUAN Bolasepak Perlis (PFA) perlu menanti keajaiban atau merestui pasukan baharu, Perlis FC yang dianggap sebahagian peminat sebagai 'adik' badan induk itu supaya legasi perjuangan dalam arena bola sepak negeri itu terus wujud dalam negara ini.

Ini berikutan kemelut tidak henti yang melanda PFA membuatkan badan induk itu lali dan dianggap pasukan paling bermasalah pernah wujud dalam kancah Liga Malaysia oleh peminat skuad Singa Utara.

Pengendali Perlis FC, Manja Man berkata, dia mengakui sedih dengan badai yang menimpa PFA malah mengakui bahawa persatuan itu perlu memberi laluan kepada 'adiknya', Perlis FC bagi meneruskan perjuangan bola sepak.

"Masalah yang timbul dan membelenggu PFA dari dahulu adalah isu gaji dan ini adalah hakikat yang pahit perlu ditelan.


Manja akui terlalu banyak masalah timbul. FOTO NSTP

"Bagi mengembalikan PFA seperti dahulu, ia adalah sukar dan adakalanya jika difikirkan kembali hampir mustahil kerana terlalu banyak masalah timbul sehingga tiada pihak berani mengambil alih persatuan.

"Jadi berilah peluang kepada Perlis FC untuk membawa dan menggalas cabaran disamping meraih kembali sokongan peminat dalam negeri ini," katanya di Hotel Putra Regency, Kangar, hari ini.

Mengulas mengenai Perlis FC, pasukan baharu dikendalikannya, Manja mengakui skuad itu masih perlu menjalani latihan intensif meskipun hampir 90 peratus pemainnya berpengalaman dan pernah bersaing dalam Liga Super dan Liga Perdana sebelum ini.

"Mereka (pemain Perlis FC) tidak boleh selesa walaupun sudah berada dalam skuad ini kerana mereka turut dinilai sama ada layak mewakili Perlis FC sehingga tahun hadapan.

"Jadi seharusnya mereka bersungguh walaupun kelmarin Perlis FC mencatat kemenangan pertama dalam perlawanan pembukaan Liga Terbuka menentang pasukan bertaraf antarabangsa daripada Afrika Selatan di Stadium Tuanku Syed Putra disamping Perlis FC mencari bakat baru," katanya.

PFA dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) akan diadakan badan induk itu, esok bagi memilih jawatankuasa PFA yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 4:05 PM