Milunovic (kasut merah) yang beraksi bersama Sabah akan kembali ke Melaka. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PEMAIN import kelahiran Serbia, Luka Milunovic kini berada dalam senarai pilihan akhir Melaka menggantikan khidmat Liridon Krasniqi atau Mat Don yang masih menjalani pemulihan kecederaan di Jerman.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berkata Milunovic yang sebelum ini menyertai sesi latihan pra-musim bersama Melaka adalah pemain skuad Hang Tuah.

Bagaimanapun, kemasukan Mat Don menyebabkan MUSA meminjamkan Milunovic kepada Sabah yang beraksi di Liga Perdana.

Katanya, akibat tiada berita terkini dan status kecederaan Mat Don mendorong MUSA menyenaraikan semula Milunovic membarisi skuad Hijau Putih.

"Persatuan Bolasepak Sabah sudah memberi lampu hijau bagi membolehkan MUSA kembali menyenaraikan pemain tengah itu (Milunovic) bersama pasukan.

"Malah pemain terbabit dijangka memulakan sesi latihan esok di bawah kendalian jurulatih, Zainal Abidin Hassan dan pembantunya, Nidzam Adzha Yusof dan Asri Ninggal," katanya.

Pada aksi pra-musim, Milunovic meledak dua gol bersama Melaka ketika menewaskan Negeri Sembilan (NS) 2-0 dan Selangor United 2-1 di Stadium Hang Jebat.

Milunovic yang memiliki pengalaman beraksi di Liga Serbia, Belgium dan Greece termasuk bersama pasukan OFK Beograd, Zulte Waregem, Aris, Platanias dan Red Star bakal menjadi tunjang buat Melaka pada saingan pusingan kedua Liga Super buat skuad terbabit.

Semalam, Yusoff memaklumkan kesediaan MUSA mencari pengganti Mat Don selepas pemain tengah terbabit kini menyepi akibat kecederaan yang dialaminya.

Bekas pemain Kedah itu terlepas enam perlawanan termasuk satu aksi Piala FA jelas mengambarkan situasi sukar buat Melaka kembali menyenaraikannya bersama skuad berkenaan.

Selain Mat Don, Melaka memiliki penyerang dari Brazil, Anselmo Casagrande, Darko Markovic (Montenegro), Jang Suk-Won (Korea Selatan) dan Patrick Reichelt (Filipina).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 5:14 PM