HARRIF (kanan) tekad mahu pertahan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut di Sukan SEA Filipina. FOTO/NSTP
Azlan Muhammad Zain


PAKAR pecut Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh mengintai peluang untuk mempertahankan emas buat kali ketiga berturut-turut di Sukan SEA Filipina, hujung tahun ini.

Harrif meraih dua emas di Sukan SEA 2015 di Singapura dalam acara lepas beramai-ramai dan kriterium yang disusuli emas pada edisi 2017 menerusi acara kriterium.

Bagaimanapun dia terlebih dulu memenangi tiga emas dalam acara trek pada edisi 2007 dan 2011.

"Adalah sesuatu yang membanggakan apabila berjaya menyumbang emas kepada negara. Sudah dua edisi berturut-turut saya meraih emas dalam acara lebuh raya dan berharap mampu meneruskannya di Filipina nanti.

"Saya merasakan berada di tahap terbaik ketika ini terutamanya dengan pencapaian muncul juara peringkat dan menaiki podium beberapa kali di Le Tour de Langkawi (LTdL) tiga minggu lalu. Bukan mudah untuk menewaskan pelumba handalan dunia yang bersaing kali ini.

"Namun saya percaya dan yakin mampu meneruskan keputusan pada perlumbaan disertai selepas ini," katanya.

Bagaimanapun menurut Harrif, dia masih belum mendapat sebarang maklumat tentang pembentukan skuad negara ke Filipina dan laluan yang bakal digunakan pada edisi ke-30 temasya Sukan SEA itu.

"Saya tidak pasti tentang pembentukan skuad negara kali ini, sama ada seperti dua tahun lalu dengan pelumba TSG diberikan tanggungjawab sepenuhnya untuk menggalas cabaran negara atau sebaliknya.

"Saya berharap sekali lagi dapat tersenarai namun terpulang kepada pihak yang berwajib menentukannya," katanya.

Tanpa acara trek, sukan berbasikal di Filipina mempertandingkan 13 emas merangkumi acara lebuh raya, berbasikal bukit dan BMX.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 7:46 PM