MUHAMAD Hakimi dan Li Jane.
MUHAMAD Hakimi dan Li Jane.
Shaarani Ismail


ATLET lompat kijang negara, Muhamad Hakimi Ismail, 28 dan atlet tenpin boling negara, Sin Li Jane, 27, dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Anugerah Sukan Negeri Perak 2017/18 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini malam ini.

Hakimi menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2017 dan 2018 dengan memenangi empat pingat emas pada Kejohanan Terbuka Malaysia, Kejohanan Terbuka Singapura, Sukan SEA dan Kejohanan Almaty Kazakh pada 2017.

Dia turut memenangi tujuh pingat emas sepanjang tahun lalu antaranya dalam Kejohanan Terbuka Malaysia, Kuala Lumpur All-Conners Meet, Sydney New All-Conners, Terbuka Kuala Lumpur dan Sukan Universiti ASEAN Naypiydaw.

Li Jane pula menunjukkan kecemerlangannya dalam sukan tenpin boling dengan memenangi enam pingat emas sepanjang 2017 termasuk dalam Sukan SEA, Jelajah Persekutuan Boling Asia (ABF) Thailand, Profesional Womens Bowling Association Lincoln Open dan 48th Brunswick Ballmaster Open tahun lalu.

Olahragawan serta olahragawati harapan pula dimenangi atlet menembak, Loo Jie Ren, 20, dan atlet pelayaran remaja, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri, 17.

Penyampaian anugerah disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mengiringi baginda menyampaikan hadiah kepada pemenang, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee yang mewakili Menteri Besar.Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sementara itu, bekas pemain badminton negara yang pernah membantu negara menjadi Naib Johan Piala Thomas pada 1976, Suffian Abu Bakar, 65, dipilih sebagai penerima Anugerah Jasamu Dikenang.

Keluarga Mohd Nazri Seman pula dipilih sebagai penerima Anugerah Keluarga Sukan berdasarkan pembabitannya sebagai jurulatih pasukan perahu layar negeri Perak, dengan isterinya sebagai pengiring pasukan perahu layar negeri manakala dua anaknya, Nur Adriana Adlyna mewakili negeri manakala Nur Nabila Natasha, mewakili negara dalam sukan berkenaan.

Anugerah pasukan terbaik pula diungguli pasukan bola sepak Perak manakala Anugerah Kepimpinan Sukan diberikan kepada S R Chandran yang juga Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Perak.

Jurulatih skuad menembak negeri, Alais Neek Sulong pula dipilih sebagai penerima Anugerah Jurulatih Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 11:19 PM
Digital NSTP Subscribe