PEMAIN PKNP FC, Mohamad Ezanie Mat Salleh (kiri) mengasak pemain Perak, Mohd Nor Hakim Hassan dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Shamsul Kamal Amarudin


PERAK dan PKNP FC terikat tanpa jaringan pada pertembungan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini malam ini.

PKNP FC nyata menunjukkan aksi lebih bertenaga malam ini berbanding persembahan longlai sehingga dibelasah empat gol tanpa balas pada saingan Liga Super oleh pasukan sama di tempat sama, tiga hari lalu.

Pasukan tuan rumah terlebih dulu berpeluang menjaringkan gol seawal minit ke-16 tetapi tendangan Giancarlo Lopez tidak cukup padu untuk menumpaskan Hafizul Hakim.

Empat minit kemudian, gawang tuan rumah pula hampir dibolosi menerusi rembatan Gilmar da Silva dari luar kotak penalti tetapi bola menerjah palang walaupun Asyraaf Omar kelihatan sudah tertewas.

Peluang terbaik tuan rumah kemudian hadir pada minit ke-25 apabila hantaran Al-Fateh Mohd Afandi tepat kepada Thomas Abbey tetapi tendangannya melepasi palang walaupun hanya berdepan Hafizul Hakim.

Lima minit kemudian Brendan Gan melakukan larian di sebelah kanan sebelum melakukan rembatan yang ditepis Asyraaf Omar.

Pada minit ke-35, rembatan Shahrel Fikri dalam kotak penalti pula mengenai palang.

Dua minit selepas itu, hantaran lambung Shahrel Fikri pula gagal disempurnakan dengan kemas oleh Brendan.

Tiga puluh lima minit babak kedua tidak banyak mempamerkan aksi menarik oleh kedua-dua pasukan dengan peluang terbaik diperolehi PKNP FC menerusi Thomas Abbey pada minit ke-81 dan 85 tetapi diselamatkan Hafizul Hakim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 11:47 PM