EMERY perlukan sentuhan Alexandre Lacazette untuk menyinar di Eropah. — FOTO Reuters
AFP

UNAI Emery berdepan ‘bencana’ dalam musim sulungnya di Arsenal kecuali pengendali dari Sepanyol itu boleh sekali lagi membuktikan dirinya sebagai pakar Liga Europa sekali gus menutup kelemahan prestasi Gunners dalam Liga Perdana Inggeris.

Arsenal kalah empat daripada lima aksi terakhir liga di tangan Everton, Crystal Palace, Wolves dan Leicester sekali gus merudum ke tangga kelima dan berharapkan ihsan daripada Chelsea atau Tottenham untuk peluang berakhir dalam kelompok empat teratas.

Bagaimanapun, memenangi Liga Europa turut memberi peluang untuk kembali ke kancah Liga Juara-Juara musim depan selepas dua tahun gagal.

Selama 20 tahun di bawah Arsene Wenger, Arsenal menikmati kekayaan dan glamor Liga Juara-Juara dan impak kegagalan itu mencetus implikasi terhadap bajet diterima Emery.


UNAI EMERY. — FOTO Reuters

Pada Januari lalu, beliau mendedahkan kelab itu tidak mampu membeli pemain secara tetap.

Emery pakar dalam pertandingan kelas kedua Eropah itu, memenanginya tiga kali di Sevilla dan beliau juga amat memahami lawan Arsenal pada separuh akhir, Valencia, yang diuruskannya dari 2008 hingga 2012.

Bagaimanapun, keraguan tetap wujud mengenai keupayaannya mengemudi Arsenal semula ke puncak yang pernah mereka kecapi di bawah Wenger.

Masalah benteng pertahanan sama yang menghantui tahun terakhir pengendali dari Perancis itu terserlah akhir-akhir ini, melepaskan gol dalam tiga kekalahan liga berturut-turut buat kali pertama sejak 1967.

Arsenal berdepan dua aksi terakhir liga musim ini hanya dua mata di belakang empat teratas, berbanding jauh ketinggalan 12 mata pada musim terakhir Wenger.

“Pada awal musim kami sedar ia pasti terlalu sukar (untuk berakhir dalam kelompok empat teratas),” kata Emery selepas kalah 0-3 di Leicester, hujung minggu lalu.

“Kami akan teruskan, kami tidak akan melihat kepada carta liga, Liga Europa satu motivasi besar buat kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 12:46 PM