Pemain Kanada, James Wallace (kiri) cuba merampas bola dari pemain China, Meng Lei pada aksi Pusingan Akhir Siri FIH hari ini. FOTO AFP.
Saiful Affendy Sapran


KANADA meleburkan ego China selepas menewaskan negara Tembok Besar itu menerusi penentuan penalti 3-1 selepas kedua-dua pasukan seri 3-3 pada masa sebenar sekali gus mara ke separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH, Jumaat ini.

China menerusi ketua jurulatihnya, Kim Sang Ryul sebelum bermulanya kejohanan berkata, pasukannya lebih baik berbanding ketika mara sehingga ke pusingan kedua Piala Dunia di Bhubaneswar tahun lalu.

Namun Kanada akhirnya menamatkan kemaraan lawan mereka itu pada aksi play off berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, petang ini.

Kanada berpeluang mencatatkan kemenangan pada masa sebenar tetapi gol terakhir mereka dibatalkan oleh pengadil perlawanan yang kemudian menyaksikan perlawanan terpaksa di heret ke penentuan penalti.

China di depan seawal minit ke-4 menerusi pukulan sudut penalti Du Talake tetapi Oliver Scholfield berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan padang minit ke-16.

Tu Yuan Lin kembali meletakkan China di depan hasil pukulan sudut penalti sebelum Iain Smythe pantas menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Su Lixiang menambah gol ketiga China minit ke-50 namun Sukhi Panesar menyelamatkan Kanada menerusi gol padang seminit kemudian sebelum perlawanan di tentukan menerusi penentuan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 8:10 PM