Penyokong Kelantan mengadakan bantahan aman mendesak Bibi Ramjani meletak jawatan sebagai Presiden KAFA di Grandstation Cafe TRWNS, Senawang. FOTO Adzlan Sidek.
Mohd Amin Jalil


DESAKAN penyokong setia Kelantan terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan supaya meletakkan jawatan tidak sahaja tertumpu di negeri itu, sebaliknya penyokong pasukan itu di Negeri Sembilan turut berbuat demikian.

Sekumpulan 30 pemimpin dan ahli Kelab The Red Warriors Negeri Sembilan (TRWNS) mengadakan perhimpunan dengan menaikkan sepanduk di Dataran Kemuning Senawang, Seremban hari ini, meminta Presiden KAFA itu meletakkan jawatan.

Presiden TRWNS, CM Saidi Che Kob, 47, berkata, desakan supaya Bibi Ramjani meletakkan jawatan dibuat atas faktor kegagalan beliau mentadbir KAFA dengan baik.

Katanya, dalam tempoh tidak sampai dua tahun sejak menerajui badan induk bola sepak Kelantan itu, beliau dilihat gagal membawa hala tuju pasukan utama Kelantan ke tahap yang membanggakan.

"Kami rasa beliau gagal mentadbir KAFA di tahap yang cemerlang, bukan sahaja dalam soal penajaan tetapi lebih utama adalah prestasi pasukan Liga Perdana.

"Pasukan Kelantan yang suatu ketika menjadi pencabar terkuat dalam Liga Super, kini turun ke saingan Liga Perdana, malah ketika ini terperosok di tangga tercorot liga.

"Keadaan perjalanan pasukan itu juga jelas kurang memberangsangkan apabila sudah membabitkan khidmat tiga jurulatih walaupun saingan baru memasuki fasa kedua," katanya.

Sebelum ini, penyokong TRW terutama di Kota Bharu, Pasir Mas dan Kuala Krai bertindak menaikkan sepanduk mendesak Bibi Ramjani segera berundur.

Mereka hilang sabar apabila usahawan batik itu gagal mengurus tadbir KAFA dengan baik sehingga terpalit dengan beberapa kontroversi.

Saidi berkata, penyokong hilang sabar dengan keadaan yang berlaku terhadap KAFA dan prestasi pasukan utama, jika tiada sebarang perubahan positif dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 12:58 AM