SALAH (tengah) dikekang dua pertahanan Barca, Clement Lenglet (kiri) dan Jordi Alba di Nou Camp, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp menyatakan pasukannya sudah bermain sebaik mungkin di sebalik tewas 0-3 di tangan Barcelona yang mendapat inspirasi Lionel Messi pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Nou Camp, awal pagi tadi.

“Bola sepak memang begini. Ia mengenai menjaringkan gol dan mereka meledak tiga gol tapi kami tidak menjaringkan sebarang gol. Namun persembahan mereka amat bagus, secara jujurnya satu perlawanan yang mengagumkan menentang pasukan seperti Barcelona, beberapa detik cukup memberikan mereka peluang,” kata Klopp.

“Apa yang boleh saya katakan lagi? Saya amat gembira dengan persembahan pemain tapi sudah tentu tidak gembira dengan keputusan ini, kami terpaksa menerimanya, inilah bola sepak dan kami tahu mengenainya. Ia keputusan yang perit tapi kami perlu menerimanya.”

Liverpool ketinggalan 0-1 ketika rehat namun selepas menguasai awal babak kedua, Messi meledak dua gol termasuk satu sepakan percuma jarak jauh mengagumkan.

MILNER (kanan) kecewa percubaannya diselamatkan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen. — FOTO Reuters

Pasukan Klopp turut mempunyai peluang dengan dua percubaan James Milner diselamatkan manakala rembatan Mohamed Salah singgah di palang.

“Bagaimana kami mencipta detik itu amat mengagumkan, bagaimana kami mencetus masalah kepada mereka menakjubkan, kami menguasai perlawanan dengan baik,” kata Klopp.

“Ketika rehat kami menganalisis babak pertama, memberitahu pemain apa yang boleh diperbaiki dan kami perlu melakukannya semula. Secara jujur saya tidak tahu sama ada kami boleh bermain lebih bagus berbanding hari ini,” katanya.

“Tapi apabila anda mempunyai detik itu, bola terkena palang... dan kemudian Messi berada di sana bagi gol mudah. Kemudian jaringan menakjubkan sekali lagi, itulah yang berlaku. Bola itu jelas tidak boleh diselamatkan,” ujar Klopp.

“3-0 bukannya satu keputusan mudah tapi kami ada satu perlawanan lagi (separuh akhir kedua) dan peminat kami akan berada di sana.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 7:41 AM