SUAREZ (kiri) meledak gol pertama Barca di Nou Camp. — FOTO AFP
Reuters

SEKALIPUN Barcelona membenam Liverpool 3-0 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi tadi, jurulatih Ernesto Valverde menyatakan tempat pasukannya pada final pertandingan itu belum terjamin.

Gol Luis Suarez dan dua jaringan babak kedua Lionel Messi, gol kedua pemain Argentina itu adalah yang ke-600 buatnya bersama Barca, memberikan kelab Catalan itu kemenangan diimpikan di depan 98,000 penonton di Nou Camp di sebalik persembahan mengagumkan Liverpool.

Namun Valverde menegaskan penyingkiran sensasi pasukannya daripada pertandingan tahun lalu di tangan AS Roma selepas mendahului selesa 4-1 pada aksi pertama menyebabkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga bagi aksi timbal balik di Anfield, Selasa ini.

“Kami tidak akan ke sana dengan langkah beringat-ingat tapi pengalaman menjadi perkiraan,” kata Valverde, pasukannya tersingkir pada pertandingan tahun lalu selepas tumpas 0-3 di Roma.


VALVERDE bertuah kerana memiliki Messi, Suarez. — FOTO EPA

“Kami lihat bagaimana Liverpool menangani perlawanan dan kepantasan yang mereka miliki dan kami juga perlu sedar kami tidak boleh terlalu yakin. Perlawanan ini masih terbuka dan kami belum layak lagi.”

Liverpool meledak tujuh gol dalam dua aksi terakhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich dan FC Porto di tempat lawan dan sekalipun ketinggalan satu gol susulan jaringan bekas penyerang mereka Suarez, Reds tetap mempamerkan cita-cita besar di bahagian serangan.

“Kami tak boleh menipu, ia keputusan yang bagus bila anda menang dan lawan anda tidak menjaringkan gol, tapi kami menderita, masih ada 90 minit untuk dilalui dan ketika kami mampu menjaringkan gol, mereka juga mampu melakukannya,” ujar Valverde.

“Ada ketikanya mereka lebih bagus berbanding kami jadi kami sedar apa yang menunggu kami di sana.

“Saya melihat satu pasukan yang mampu membuatkan mana-mana pasukan merana. Tahun lalu kami ada kelebihan tiga gol dan kami disingkirkan. Kami meraih keputusan yang hebat tapi perlawanan ini belum berakhir.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 9:41 AM