Mourinho (kiri) kata Guardiola (kanan, atas) dan Klopp menerima layanan baik di kelab mereka. FOTO REUTERS/Bein
Agensi

JOSE Mourinho mengatakan dia tidak mendapat layanan yang baik ketika mengendalikan bekas kelab berbanding dua pencabarnya, Pep Guardiola dan Jurgen Klopp.

Bercakap ketika bertugas sebagai pengulas sukan bersama beIN membuat liputan perlawanan Liverpool-Barcelona, Mourinho meluahkan apa terbuku dihatinya.

Pengurus Manchester United dipecat itu sebelum ini menerima konfrontasi Gary Neville mendakwa seseorang yang mempunyai falsafah Portugal tidak sepatutnya mengendalikan Old Trafford lagi.

“Gary Neville tidak tahu falsafah saya,” katanya membalas kenyataan itu.

“Falsafah mengikut keadaan. Saya suka berada bersama kelab dalam keadaan dilalui oleh Jurgen dan Pep.

“Anda lihat kesebelasan utama diturunkan Liverpool di Nou Camp, berapa ramai yang ada sebelum Jurgen tiba di kelab itu?

“Apabila Pep tidak gembira dengan empat benteng pertahanannya, dia membeli empat pemain disukainya pada musim panas.

“Sewaktu dia membeli Claudio Bravo, dia tidak gembira dengannya dan membeli Ederson pada musim berikutnya.”

Perbandingan Mourinho dengan musuh ketatnya berterusan selepas dia digambarkan sebagai seorang yang tidak sabar ketika di United berbanding apa diterima Klopp di Anfield.

“Bila Jurgen berada di kelab yang tidak memenangi apa-apa selama tiga setengah tahun, dia masih mendapat kepercayaan dan keyakinan yang berterusan.

“Musim ini, mereka ada peluang menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi untuk mencapainya, itulah kali pertama mereka memenangi trofi.

“Itu sebabnya untuk tugasan selepas ini saya tidak akan memulakan perbualan dengan kelab tanpa mengetahui apa dimahukan kelab berkenaan dan apa mampu diberikan oleh kelab dari segi struktur dan objektif.”

“Saya rasa jika cerita tak betul diberitahu 1,000 kali lama-kelamaan ia menjadi sesuatu dipercayai. Ia seperti bermain untuk mendapatkan keputusan dan beraksi untuk hiburan” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 3:28 PM