Dollah akui skuadnya kurang menyengat tanpa Nwakaeme. FOTO NSTP
Malik Muhamad


KESILAPAN dilakukan barisan pertahanan membuatkan skuad Pahang merana walaupun bangkit pada separuh masa kedua dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di tempat lawan.

Pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh berkata peluang skuadnya memadam defisit satu gol pada suku akhir kedua di Kuantan masih terbuka.

Bekas pemain kebangsaan itu tanpa berselindung mengakui ketiadaan ayam tambatannya, Dickson Nwakaeme dan pemain kelahiran Singapura, Safuwan Baharudin menyebabkan skuadnya longgar terutama di jentera serangan.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan corak permainan dipamerkan anak buah. Cuma kita melakukan kesilapan mudah membolehkan TFC (Terengganu FC) menghasilkan dua jaringan.

"Ketiadaan Nwakaeme menjejaskan peluang mendapat jaringan. Banyak cipta peluang tetapi tiada penyerang tulen menyudahkannya.

"Kami bangkit separuh masa kedua tetapi keputusan kekal," katanya.

Dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi, jaringan bekas pemain Pahang, Malik Mat Ariff dan gol kedua menerusi pemain kelahiran Ivory Coast, Kipre membantu TFC menang 2-1.

Jaringan Tok Gajah diperoleh menerusi pemain Brazil, Jose Eduardo.

Dollah percaya anak buahnya mampu memberikan aksi lebih baik pada aksi kedua nanti berbanding pertemuan pertama terutama mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri.

"Dengan agregat 1-2, sudah pasti pemain akan mempamerkan aksi lebih 100 peratus untuk ke separuh akhir dan seterusnya final,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 4:42 PM