Alex berpandangan tiada guna anjur F1 semula sekiranya minat tulen penyokong tidak ditangani. FOTO OWEE AH CHUN
Saiful Affendy Sapran


TEMPOH minimum lapan tahun diperlukan sebelum Malaysia berhasrat menganjurkan semula perlumbaan berprestij Formula Satu (F1) supaya faktor sama tidak berulang selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.

Demikian pandangan bekas pemandu F1 negara, Alex Yoong berhubung desas-desus untuk membawa perlumbaan itu kembali semula ke Malaysia pada masa depan.

Jelas Alex, tiada gunanya untuk Malaysia menganjurkan semula F1 dalam tempoh terdekat sekiranya beberapa faktor seperti aspek pembangunan di peringkat akar umbi serta minat 'tulen' penyokong terhadap perlumbaan itu tidak ditangani terlebih dahulu.

"Kita perlu mempunyai asas yang kukuh dalam sukan permotoran di negara ini seperti mempunyai lebih banyak litar.

"Mungkin dua di Selatan, satu di Utara dan satu lagi di Lembah Klang. Sebab yang penting ketika ini adalah pembangunan di peringkat bawahan.

"Jika kita kembali membawa F1 dalam tempoh terdekat tetapi perkembangan sukan permotoran itu masih tidak berkembang lagi di negara ini, maka kita akan membentuk satu lagi penyokong F1 saja," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran eRacing Grand Prix SEA disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, hari ini.

Jelas Alex, rakyat di negara ini perlu dipupuk untuk meminati sukan permotoran secara tulen sekali gus mendorong mereka untuk terus setia meminati perlumbaan berprestij itu tidak kira apa juga yang berlaku.

"Apa kita lihat sekarang ini ialah mereka meminati F1 kerana pelumbanya. Kalau Michael Schumacher berhenti berlumba, maka mereka tidak lagi mengikuti F1.

"Di Malaysia, tidak kira apa juga sukan, kita sering menumpukan kepada perkara yang besar. Apabila mereka hadir, mereka ambil wang kita dan kemudian pergi begitu saja," katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini ada menyuarakan hasrat mahu perlumbaan berprestij itu dianjurkan semula di Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:55 PM