STEVEN (duduk) mencuba permainan video sambil disaksikan Alex di Sunway Velocity Mall. - FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran

DARI fantasi ke realiti. Itulah kelainan kejohanan eRacing Grand Prix SEA yang membuka peluang kepada mereka yang meminati dunia perlumbaan berlumba bermula dari permainan video ke perlumbaan sebenar.

Pengasas Axle Motorsport, Alex Yoong berkata, dia mendapat idea untuk membawa perlumbaan itu julung kali ke Malaysia sekali gus yang pertama di rantau Asia Tenggara selepas penganjuran Kejohanan eRacing Grand Prix Hong Kong tahun lalu.

"Sebelum ini saya tidak mempunyai jawapan tepat bagaimana cara untuk orang ramai mendekatkan diri atau terbabit dengan sukan permotoran.

"Kini saya sudah ada jawapannya dan ia adalah perlumbaan permainan video ini. Ia platform terbaik kepada pelumba alam maya membuktikan bahawa mereka boleh menjadi jaguh di dalam sukan permotoran," katanya pada majlis pelancarannya disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, hari ini.

Menerusi kejohanan itu, mereka yang berminat boleh menyertai pada Jun ini.

Pemenang di setiap Grand Prix akan dilatih dan mendapat tempat bagi Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA) sebagai medan persiapan untuk menjadi pelumba kereta profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:40 PM