HAZARD (kanan) hanya beraksi selama setengah jam di Frankfurt, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

JURULATIH Chelsea, Maurizio Sarri mempertahankan keputusannya meninggalkan Eden Hazard di bangku simpanan dan menyatakan pasukannya “berhak menang trofi” selepas seri 1-1 di Eintracht Frankfurt pada separuh akhir pertama Liga Europa, awal pagi tadi.

Gol penyamaan Pedro pada masa kecederaan babak pertama memberikan Chelsea potensi gol di tempat lawan selepas perlawanan sengit di Arena Commerzbank.

Sarri mencuri tumpuan dengan keputusannya mengetepikan Hazard daripada kesebelasan utama namun beliau menyatakan tiada pilihan selain merehatkan bintang Belgium itu.

“Eden di bangku simpanan kerana dia sudah beraksi 10 perlawanan berturut-turut,” kata Sarri.


SARRI (kiri) berasakan Chelsea patut menang satu trofi musim ini. — FOTO Reuters

“Agak mustahil buat seorang pemain beraksi 70 hingga 75 perlawanan semusim. Kadangkala mereka perlukan rehat atau seorang-kurangnya tidak beraksi 90 minit.

“Kami mahu layak ke final dan kali ini saya mahu memenanginya,” ujar Sarri, pasukannya tewas pada final Piala Liga Inggeris di tangan Manchester City awal musim ini.

“Tiga bulan lalu, kami berdepan masalah. Kini kami dalam kelompok empat teratas dan di separuh akhir, jadi saya fikir kami berhak memenangi satu trofi.”

Sarri berkata, pasukannya melakukan “kesilapan” dalam 20 minit pertama ketika mereka bergelut menangani Frankfurt yang mempamerkan keazaman kuat.

“Kami mula bermain selepas gol itu dan mendominasi perlawanan selama 70 minit,” ujar Sarri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 9:38 AM