LTdL bertaraf 2.2 manakala LTdF bertaraf 2.1. Gambar hiasan LTdL 2019. — FOTO Rosdan Wahid
Azlan Muhammad Zain


BUAT julung kali, perlumbaan jelajah berbasikal wanita antarabangsa berstatus 2.1 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Le Tour de Femina (LTdF) akan dilangsungkan September ini menyaksikan saingan hebat pelumba wanita dunia.

Dianjurkan Ciclista Sports Sdn Bhd, perlumbaan jelajah enam hari itu menyajikan aksi menarik buat pengikut dan peminat sukan berbasikal di negara ini dengan penyertaan kelab profesional termasuk dari Eropah, Amerika, Oceania dan Asia.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini melancarkan LTdF 2019 sekali gus menandakan satu lagi peningkatan dan perkembangan positif dalam sukan berbasikal negara.

“Inilah kali pertama dalam sejarah negara menganjurkan jelajah seperti ini untuk wanita.


SYED Saddiq mahu martabatkan sukan dalam kalangan wanita. — FOTO Owee Ah Chun

“Saya harap ia berterusan kerana kami sememangnya memikirkan cara untuk meningkatkan pembabitan wanita dalam sukan,” kata Syed Saddiq.

LTdF 2019 yang meliputi jarak keseluruhan 719.9km diiktiraf UCI sebagai perlumbaan enam peringkat bertaraf 2.1 dan dijadualkan dari 7 hingga 12 September ini.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Bandar Jitra, Kedah diberi penghormatan sebagai hos perlumbaan peringkat pertama sejauh 116.1km ke Kulim.

Peringkat kedua sejauh 117.1km membawa pelumba menyusuri laluan dari Permatang Pauh, Pulau Pinang ke bandar bersejarah Kuala Kangsar, Perak.

Cabaran peringkat ketiga menyajikan saingan paling getir dengan saingan mendaki ke Bukit Fraser sejauh 124.2km dari Tapah.

Peringkat keempat dari Shah Alam ke Melaka sejauh 132km adalah peringkat paling jauh manakala peringkat kelima dari Jasin ke Muar sejauh 112.3km.

Perlumbaan berakhir dengan cabaran peringkat keenam dan terakhir sejauh 118.2km dari Tampin ke bandar digital, Cyberjaya pada 12 September.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 2:11 PM