Pemain Kanada, Brenden Bissett (kanan), mengawal bola dari pemain Itali, Julien Dallons (kiri), ketika aksi separuh akhir pusingan akhir siri FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Saiful Affendy Sapran


REKOD kemenangan bersih serta kejutan berturut-turut yang dilakar Itali akhirnya lebur juga selepas tewas tipis 1-3 di tangan Kanada pada aksi separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH hari ini.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Kanada bakal beraksi pada pentas final berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil esok.

Kapten Kanada, Scott Tupper berkata, dia serta barisan pemainnya mungkin memilih jalan sukar untuk mara ke separuh akhir kerana perlu melalui aksi play off, namun ia sedikit sebanyak membantu mereka mempamer aksi konsisten.

"Mungkin kami tidak beraksi dengan baik pada perlawanan pertama peringkat kumpulan. Tetapi selepas itu setiap pemain menunjukkan peningkatan prestasi.

"Walaupun ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama, kami tidak berasa panik dan terus mengekalkan aksi konsisten di separuh masa kedua. Akhirnya kami memperoleh kemenangan ini dan mara ke final," katanya.


Pemain Canada, Scott Tupper (tengah), mengawal bola dari pemain Italy, Juan Montone (kanan), pada aksi pusingan akhir siri FIH. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Kanada memperoleh tiga pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama, namun ketiga-tiga gagal menghasilkan gol.

Ketika Kanada terus mengasak, Pietro Lago meletakkan Itali di depan minit ke-28 hasil pukulan sudut penalti.

Namun empat minit kemudian, Sukhi Panesar melegakan kem Kanada selepas berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang.

Kanada akhirnya di depan buat kali pertama minit ke-43 selepas Gordon Johnston memukul terus masuk ke gawang gol lawan.

Sedar ketinggalan satu gol, Itali dilihat bekerja keras untuk mencari gol penyamaan sebaik bermulanya suku terakhir. Namun Kanada yang menduduki ranking ke-10 dunia berjaya menambah gol ketiga pada minit terakhir hasil jaringan Oliver Scholfield.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 8:02 PM