Pemain kedua-dua pasukan, Malaysia Barbarians dan Sri Lanka bergambar selepas perlawanan di Padang A Universiti Putra Malaysia, semalam.
Meor Riduwan Meor Ahmad


PENGURUS ragbi 15 sebelah kebangsaan, Amir Amri Mohamad membayangkan sudah memiliki skuad ampuh untuk diturunkan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Menurutnya, biarpun skuad Malaysia Barbarians yang diperkuat 10 pelatih kebangsaan, tewas 55-14 dalam ujian pertama menentang Sri Lanka semalam, perlawanan itu sekadar memilih baki enam pemain untuk mewakili negara.

"Walaupun tewas, saya lihat ada aspek positif dari segi peningkatan mutu permainan 10 pemain yang diberi peluang kedua untuk diserap dalam skuad utama.

"Saya berpuas hati mereka bersungguh-sungguh membuktikan kemampuan untuk layak dipilih mewakili negara.

"Sebelum ini ketika menentang Singapura, saya lihat ramai pemain baru ini kelihatan gugup dan kurang menyerlah berdepan lawan," katanya hari ini.

Amir Amri berkata, melihat kepada corak permainan lawan, beliau yakin skuad negara yang diperkuat kapten pasukan, K Dineshvaran mampu memberi saingan hebat kepada Sri Lanka yang berada di ranking ke 43 dunia.

Katanya, perlawanan persahabatan antarabangsa itu adalah persediaan latihan terbaik sebelum bersaing dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019 secara timbal balik bermula 18 Mei hingga 29 Jun nanti bertemu Korea Selatan pada 18 Mei dan Hong Kong (15 Jun).

SNBJ bakal menjadi gelanggang skuad Malaysia bagi aksi timbal balik menentang Korea Selatan pada 25 Mei dan Hong Kong 22 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 9:34 PM