Pengurus Liverpool Juergen Klopp. FOTO Reuters.
Reuters

PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp percaya skuad kendaliannya sudah melupakan kekalahan 3-0 dalam Liga Juara-Juara ke atas Barcelona dan memberi tumpuan untuk mencatat kemenangan penting Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle esok.

Liverpool mengejar pendahulu, Manchester City dengan satu mata berbaki dua perlawanan Liga Perdana dan pengendali dari Jerman itu berkata, dia tidak perlu meningkatkan moral pemainnya selepas kekalahan di Sepanyol pada saingan pertama separuh akhir itu.

“Kami tidak perlu memilih pemain di Barcelona dan memeluknya. Ia sudah ada dalam diri kami. Jika anda mahu menang bola sepak, anda perlu menerima bahawa anda juga boleh tewas.

“Saya ada pemikiran positif mengenai perlawanan itu kerana apa yang kami lakukan di padang,” kata Klopp yang juga tidak bimbang mengenai kelesuan terhadap pemainnya.


Penyerang Barcelona, Luis Suarez (kiri) bersaing merebut bola dengan pemain pertahanan Liverpool Virgil Van Dijk pada aksi Liga Juara-Juara Khamis lalu. FOTO EPA.

“Pemain sangat bagus. Apabila anda sedang mengejar kejuaraan, anda tidak boleh letih. Kami sangat bercita-cita tinggi.

“Apa yang kami boleh lakukan ialah menewaskan Newcastle dan ia memang sukar, apa yang pasukan lain lakukan pada malam Isnin bukan masalah kami,” katanya merujuk kepada perlawanan Manchester City di laman sendiri berdepan Leicester City.

“Persembahan sejak minggu kebelakangan ini memang bagus. Kini kami perlu terus melakukannya,” katanya.

Skuad kendali Klopp dijangka tanpa pemain tengah Naby Keita yang disahkan terpaksa berehat dua bulan berikutan mengalami kecederaan bahagian peha ketika di Nou Camp.

Pemain tengah Alex Oxlade-Chamberlain kembali menjalani latihan bersama pasukan selepas berehat panjang selepas mengalami kecederaan, dan dia tampil sebagai pemain gantian ketika The Reds membelasah Huddersfield, 5-0 minggu lalu.

Bagaimanapun, Klopp tidak memberi jaminan sama ada Oxlade-Chamberlain akan memulakan permainan dalam kesebelasan utama pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 10:25 PM