Pemain Kedah, Jonatan Jesus Bauman (kiri) mengawal bola sambil diasak pemain Kuala Lumpur, Ryutaro Karube (tengah) pada aksi Liga Super. FOTO Amran Hamid.
Izzali Ismail


KEDAH menewaskan Kuala Lumpur, 5-2 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Kemenangan itu boleh dianggap kejayaan dalam misi 'balas dendam' terhadap kekalahan 1-2 ketika bertemu Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur awal bulan lalu.

Kedah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-21 melalui larian pantas Jonatan Bauman yang mendapat hantaran jauh daripada pemain pertahanan Renan Alves untuk menewaskan penjaga gawang Kuala Lumpur Sharbinee Allawee.

Tuan rumah berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-41 melalui tandukan mudah oleh pemain pertahanan Shakir Hamzah yang mendapat hantaran daripada Farhan Roslan dari ruang kanan pintu gol Kuala Lumpur.

Skuad pelawat tidak mudah berputus asa akhirnya menemui sentuhan gol di hujung babak pertama yang disempurnakan pemain berpengalaman Indra Putra Mahayuddin.

Babak kedua perlawanan skuad Lang Merah berjaya menghasilkan gol ketiga pada minit ke-67 menerusi tandukan Fernando Rodriguez yang menerima umpanan Zaquan Adha.

Kuala Lumpur merapatkan kedudukan gol melalui Guilherme De Paula pada minit ke-77 yang menolak masuk bola hantaran Ryutaro Karube dari sebelah kiri gawang Kedah.

Fernando Rodriguez sekali lagi menambah derita Kuala Lumpur pada minit ke-80 apabila menyempurnakan hantaran Jaonatan Bauman dengan tandukan 'free header'.

Seminit sebelum tamat masa perlawanan, Jonatan Bauman melengkapkan gol kelima tuan rumah hasil hantaran jauh Baddrol Bakhtiar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 11:18 PM