PERSATUAN Bolasepak Sarawak (FAS).
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menarik nafas lega selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerima rayuan mereka dengan meringankan hukuman pemotongan geran musim ini kepada 10 peratus.

Sebelum ini, Sarawak bersama Kuala Lumpur, FELDA United, Melaka United, Kelantan, PDRM dan Pulau Pinang dikenakan tindakan pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember lalu dan diberikan tempoh untuk mengemukakan rayuan tujuh hari hingga Selasa lalu.

Setiausaha Agung FAS, Jefry Lana berkata, keputusan itu sememangnya diharapkan bagi melicinkan lagi pengurusan persatuan selepas turut dikenakan sekatan perpindahan pemain sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihaknya sedia untuk mengemukakan rayuan berhubung sekatan itu.

“FAS mengucapkan terima kasih dan melahirkan penghargaan kepada MFL atas keprihatinan mereka menerima rayuan kami di mana jumlah (pemotongan jumlah geran) itu dikurangkan sehingga 10 peratus saja.

“Bagaimanapun, FAS akan memohon Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk mempertimbangkan hasrat kami untuk menukar pemain import pada jendela perpindahan pemain bulan ini selepas kami dikenakan hukuman sekatan perpindahan,” katanya.

Semalam, MFL mengumumkan denda pemotongan geran ke atas Kuala Lumpur, FELDA United, Pulau Pinang dan PDRM dikurangkan menjadi 5 peratus daripada jumlah geran manakala Sarawak, Melaka United dan Kelantan dikurangkan kepada 10 peratus.

Bagaimanapun, MFL turut menjelaskan, denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua musim 2019 yang membuka tirai semalam sehingga 29 Mei depan ke atas Kelantan dan Sarawak dikekalkan.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa turut senada dengan Jefry.

“Keputusan rayuan ini cukup baik dan saya anggap paling terbaik pernah dilakukan MFL kerana mengambil berat masalah dihadapi kebanyakan pasukan musim ini. Paling saya rasa lega bila mengetahui kami tidak dikenakan sekatan perpindahan pemain memandangkan Kuala Lumpur mahu menukar dua pemain import, Slyvano Comvalius dan kemungkinan besar Ryotaru Karube.

“Jadi, apabila kami mendapat tahu keputusan ini, sudah tentu memudahkan perancangan dalam merombak pasukan terutama dalam usaha terus bersaing. Dalam soal pengurangan geran, saya ucapkan terima kasih kerana hanya 5 peratus saja pemotongan dikenakan,” kata Nokman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 8:01 AM