AIDIL mahu pemainnya beri fokus untuk perlawanan Piala FA bertemu PKNS FC. FOTO Rasul Azli Samad
Izzali Ismail


PENGENDALI Kedah Aidil Sharin Sahak mahu pemainnya melupakan kemenangan besar 5-2 yang dicatat skuad Lang Merah keatas Kuala Lumpur semalam dan seterusnya memberi fokus untuk persiapan perlawanan Piala FA bertemu PKNS FC pada 10 Mei nanti.

"Saya tidak menjangkakan keputusan gol begini kerana sebelum perlawanan Kuala Lumpur memberi tentangan yang kuat dan kita menghormati pasukan mereka.

"Kuala Lumpur tetap memberi tentangan yang hebat kepada kami, dan walaupun kami mendapat lima gol tetapi apa yang penting adalah melupakan perlawanan ini kerana kami mahu sentiasa bersikap merendah diri dan mahu melihat ke depan untuk persiapan perlawanan seterusnya dalam Piala FA bertemu PKNS FC.

"Saya lihat semua pemain berjaya melakukan tugas dengan baik kerana untuk menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan bukan sesuatu yang mudah dan pada perlawanan ini semua pemain membuktikannya berdasarkan kesungguhan, komitmen, mutu pemainan serta disiplin."

Walaupun Kedah kembali mendapat rentak terbaiknya dengan jumlah jaringan besar, Aidil turut terkilan dengan jumlah dua gol yang mudah dibolosi barisan serangan Kuala Lumpur.

"Kami mendapat lima gol namun saya tidak boleh berpuas hati dengan dua jaringan bolos pada malam ini kerana kita tidak sepatutnya bolos mudah.

"Tapi itulah bolasepak dan apa yang lebih penting saya melihat bagaimana kami bangkit semula kerana tidak mudah untuk kembali bangkit selepas melakukan kesilapan," katanya.

Aidil turut mengakui beberapa pemainnya seperti Farhan Roslan, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Renan Alves, Fernando Rodriguez, Jonathan Bauman dan lain-lain tetap memberi sumbangan yang baik kepada pasukan walaupun mereka masih mengalami kecederaan daripada perlawanan lalu.

"Biarpun belum cergas sepenuhnya dari kecederaan, mereka tetap mahu berjuang berhabis-habisan untuk mendapatkan kembali kemenangan selepas tewas sebelum ini dan dengan komitmen sebegini, menjadi penyebab pasukan mampu mendapat keputusan yang bagus."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 12:10 PM