PEMAIN JDT II, Sean Gan Giannelli (tengah) diasak pemain PDRM, Muhamad  Eskandar Ismail (kiri) ketika perlawanan Liga Perdana 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN JDT II, Sean Gan Giannelli (tengah) diasak pemain PDRM, Muhamad Eskandar Ismail (kiri) ketika perlawanan Liga Perdana 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


PENGENDALI Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ervin Boban enggan mengulas kegagalan pengadil perlawanan Mohd Zainudin Mohd Isa yang tidak melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Argzim Redzovic melakukan terjahan keras terhadap Darren Lok dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Insiden pada minit ke-10 itu mengakibatkan Darren tidak dapat meneruskan perlawanan apabila diusung keluar namun tiada sebarang tiada tindakan oleh pengadil dan JDT II terpaksa melakukan rombakan di posisi serangan dalam perlawanan itu.

"Saya tidak mahu komen mengenai keputusan pengadil tidak memberi tindakan terhadap pemain PDRM. Apa yang saya boleh katakan Darren mengalami kecederaan yang teruk dan mungkin tidak dapat beraksi dalam jangka masa panjang.

"Apa pun semua bergantung kepada keputusan pegawai perubatan dan saya berharap dia akan pulih secepat mungkin. Agak malang buat Darren selepa musim lalu dia mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi dan kini dia mengalami kecederaan yang mungkin membataskan peluang untuk beraksi," katanya.

Ditanya mengenai kekalahan pertama yang dialami JDT II selepas tewas 0-1 kepada PDRM, Boban mengakui agak kecewa dengan keputusan itu tetapi tetap bangga dengan komitmen setiap pemain yang dibarisi pemain tempatan selepas berusaha berusaha memburu gol penyamaan namun tidak kesampaian.

Katanya, menentang PDRM memang sukar ditambah dengan ketiadaan barisan pemain import yang digantung dan dipalit kecederaan tetapi kesungguhan setiap pemain yang tidak kenal erti kekecewaan cukup membanggakan.

"Ada ketika kami akan kalah dan ia berlaku pada malam ini (malam tadi). Tapi kalah dengan semangat melawan sememangnya saya kagum dengan setiap pemain yang memberi persembahan terbaik walaupun kami tidak turun barisan terbaik.

"Kekalahan itu beri ruang kepada kami untuk lebih bersedia bagi mengharungi perlawanan seterusnya kerana apa yang belaku pada perlawanan itu sudah menjadi sejarah dan kita kena fokus pada baki perlawanan liga yang akan diharungi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 12:51 PM