Khairul Idham Pawi (kanan) dari Petronas Sprinta Racing ketika sesi latihan Grand Prix Sepanyol. FOTO EPA.
Saiful Affendy Sapran


NASIB malang menimpa pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi apabila tidak dapat meneruskan aksi pada Grand Prix Sepanyol hari ini selepas mengalami kecederaan jari kelingking di tangan kanannya.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu mengalami kecederaan berkenaan selepas terjatuh di selekoh kelima Litar Jerez pada sesi latihan pertama semalam.

Khairul terus dikejarkan ke Pusat Perubatan di litar itu sebelum disahkan tidak cergas untuk beraksi dan kemudian dipindahkan ke Hospital Virgen del Rocio, Seville.

Pelumba yang mendapat gelaran Super KIP itu kemudian menjalani pembedahan di Barcelona.

Pengarah pasukan, Johan Stigefelt berkata, Khairul nyata tidak bernasib baik untuk meneruskan perlumbaan kerana dia mempamerkan peningkatan prestasi pada sesi latihan pertama.

"Catatan pada pusingan pertama yang dilakukannya lebih pantas berbanding catatannya sebelum ini termasuklah ketika sesi ujian pra musim baru-baru ini.

"Dia nampak cukup selesa ketika di atas litar dan berada di kedudukan keenam terbaik sebelum terjatuh.

"Malangnya kecederaan jari kelingking di tangan kanan agak teruk," katanya. Stigefelt berkata, ketiadaan Khairul pastinya memberi kesan kepada pasukan namun beliau berharap Khairul dapat segera pulih sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 7:18 PM