Sivasangari (kanan) ketika menentang pemain dari India Joshana Chinappa pada separuh akhir Kejohanan Individu Asia di Bukit Jalil. FOTO Eizairi Shamsudin.
Ferzalfie Fauzi


HARAPAN untuk melihat wakil negara mara ke perlawanan akhir Kejohanan Individu Asia tidak kesampaian apabila Ng Eain Yow, S Sivasangari dan Low Wee Wern tumpas di separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Paling memberi tentangan ialah pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern ketika menentang pilihan utama dari Hong Kong, Annie Au apabila berjaya mencuri satu set sebelum tumpas 6-1, 13-11, 11-13, 11-4.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, walaupun kalah buat kali kedua berturut-turut kepada Annie, namun dia mengakui beraksi lebih baik.

"Saya berjaya menunjukkan peningkatan kerana berbanding di perlawanan akhir Terbuka Macau bulan lalu. Dalam aksi sebentar tadi set ketiga adalah penentu segalanya untuk melihat siapa akan memenangi perlawanan ini," katanya.


Wee Wern (depan) tewas kepada pemain Hong Kong, Annie Au 6-1, 13-11, 11-13, 11-4 pada aksi separuh akhir Kejohanan Individu Asia.

Wee Wern yang berada di ranking ke-28 dunia, mengakui ini adalah kali ketiga dia berdepan dengan pemain 10 terbaik dunia selepas pulih dari kecederaan tahun lalu.

Sementara itu, pemenang pingat perak Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, S Sivasangari terpaksa akur dengan kehebatan Joshana Chinappa dari India apabila dia tumpas 7-11, 10-12, 3-11.

Perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow pula tunduk kepada pilihan utama Saurav Ghosal (India) 2-11, 6-11, 4-11, manakala dalam satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan wakil Hong Kong, Leo Au Chun Ming mengalahkan rakan senegara, Yip Tsz Fung 11-3, 11-8, 11-4.

Keputusan Kejohanan Individu Asia (Separuh Akhir):

Perseorangan lelaki

Leo Au Chun Ming (HKG) mn Yip Tsz Fung (HKG) 11-3, 11-8, 11-4.

Saurav Ghosal (IND) mn Ng Eain Yow (MAS) 11-2, 11-6, 11-4

Perseorangan wanita

Joshana Chinappa (IND) mn S Sivasangari (MAS) 11-7, 12-10, 11-3

Annie Au (HKG) mn Low Wee Wern (MAS) 11-6, 11-13, 13-11, 11-4

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 7:58 PM