Barisan pemain Celtic meraikan kejayaan pasukan. FOTO Reuters.
Reuters

CELTIC mengesahkan kejuaraan kelapan Liga Perdana Scotland selepas mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Aberdeen di Stadium Pittodrie, hari ini.

Penyerang Aberdeen, James Wilson terlepas dua peluang awal untuk menjaringkan gol sebelum Neil Lennon meletakkan Celtic di depan menerusi gol pembukaan sebelum waktu rehat permainan.

Gol berpunca daripada hantaran lintang pemain tengah Callum McGregor yang berjaya di sambut pemain pertahanan kanan Mikael Lustig untuk menanduk masuk melepasi jangkaan penjaga gol Aberdeen, Joe Lewis.


Aksi pemain Celtic, Odsonne Edouard (dua kiri) berdepan pemain Aberdeen, Scott McKenna dan Dean Campbell. FOTO Reuters.

Pasukan pelawat menggandakan jaringan 13 minit selepas waktu rehat bersambung menerusi sepakan sudut McGregor yang berjaya ditanduk kemas oleh pemain pertahanan Jozo Simunovic, pemain itu turut menjaringkan gol kemenangan berdepan Kilmarnock minggu lalu.

Penyerang Odsonne Edouard menambah jaringan ketiga beberapa minit sebelum tamat permainan untuk memastikan rekod tanpa kalah Celtic dalam 11 perlawanan di semua kejohanan sejak Lennon mengambil alih tugas pengurus sementara susulan pemergian Brendan Rodgers ke Leicester City.

Celtic, juara Piala Liga, boleh melakar tiga kejuaraan peringkat domestik musim ini apabila berdepan Hearts pada final Piala Scotland 25 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 9:51 PM