PEMAIN Kelantan, Fauzi Rozlan (kiri) diasak pemain Sarawak, Firdaus Fauzi di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. - FOTO Syamsi Suhaimi
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my

PENGENDALI Kelantan, Yusri Che Lah mengakui tidak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya apabila sekadar berkongsi mata selepas seri 0-0 berdepan Sarawak pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, semalam.

Yusri berkata, keputusan itu membuktikan gerakan penyudah barisan hadapan pasukannya agak tumpul walaupun mempunyai tiga peluang terhidang mencetak gol pendahuluan.

Katanya, kegagalan barisan penyerang memanfaatkan peluang terbuka menerusi rembatan Hakimi Abdullah, Nik Azli Nik Alias dan Fauzi Rozlan membuatkan skuad gagal mencapai misi meraih tiga mata berharga di laman sendiri.

Ketiadaan pemain tengah, Nik Akif Syahiran dan ketandusan pemain import turut menyebabkan persembahan Kelantan sedikit longgar terutama di jentera serangan.

"Kami hanya menggunakan seorang pemain import iaitu (Flavio) selepas David Rowley terpaksa digantikan akibat kecederaan pada babak kedua permainan.

"Saya terpaksa melakukan dua pertukaran pemain dengan memasukkan Nik Azli dan Amirul Shafik Che Soh yang dilihat banyak membantu mengubah rentak permainan pasukan,” kata Yusri pada sidang media selepas perlawanan.

Menurutnya, dia bagaimanapun bersyukur walaupun meraih satu mata.

“Saya lega dengan peningkatan prestasi pemain pada setiap perlawanan,"katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih Sarawak, Mohamad Denny mengakui barisan penyerangnya yang diketuai Bobby Gonzales dan Hudson Jesus banyak mencipta peluang tapi gagal menyudahkan peluang terhidang.

"Pada babak pertama saya akui pasukan Kelantan mengusai keseluruhan permainan namun kami bangkit semula dengan aksi lebih baik pada babak kedua.

“Saya percaya keputusan boleh berubah jika Jesus berjaya menjaringkan gol pada minit akhir permainan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 12:36 PM