Esme Jo

PELUMBA pasukan Repsol Honda, Marc Marquez mengungguli saingan MotoGP pada GP Sepanyol di litar Jerez, hari ini.

Juara dunia itu yang menguasai perlumbaan dari awal hingga akhir menamatkan saingan di depan dua rakan senegara, Alex Rins (Suzuki) dan Maverick Vinales (Yamaha).

Marquez, pelumba Sepanyol tiba di garis penamat dengan merakam masa 41 minit 8.685s diikuti Rins (41m 10.339s) dan Vinales ( 41m 11.128s).

Pelumba Perancis, Fabio Quartararo (PETRONAS Yamaha-SRT) yang mencipta sejarah selaku pelumba termuda bermula dari petak utama, mencabar Marquez sebaik berlepas tetapi menarik diri pada pertengahan perlumbaan akibat masalah tuil penukar gear.

Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli yang memberi tekanan kepada Marquez pada 10 pusingan awal tercicir dan menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin (Red Bull KTM Tech3) berada di tempat ke-19 dengan mencatat masa, 41m 59.253s.

Saingan Moto2 dimenangi oleh pelumba Itali, Lorenzo Baldassari, manakala Moto3 dikuasai oleh Niccolo Antonelli, juga dari Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 9:24 PM
Marquez (tengah) bersama Rins (kiri) dan Vinales (kanan) di atas podium pemenang. FOTO REUTERS
Marquez unggul di laman sendiri. FOTO REUTERS