PRESTASI Khairul Hafiz (dua dari kanan) dilihat merudum selepas Sukan Komanwel lalu.
PRESTASI Khairul Hafiz (dua dari kanan) dilihat merudum selepas Sukan Komanwel lalu.
Aida Adilah Mat

RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan tidak harus kecewa atau iri hati apabila tumpuan kini lebih terarah kepada pelari muda berusia 15 tahun, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Apatah lagi, tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memberi tawaran menarik kepada Azeem, disokong oleh bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad.

Nazmizan berkata, tawaran KBS kepada pelari itu adalah satu langkah bijak kerana atlet berasal dari Perak itu mampu menjadi permata yang menyinar jika mendapat pendedahan sewajarnya.

“Khairul Hafiz jangan kecewa jika tumpuan kini lebih ke arah Azeem. Jika mahu layanan yang sama, Khairul perlu buktikan kemampuan.

“Khairul perlu buktikan dia masih yang terbaik apatah lagi prestasi dia merudum selepas temasya Komanwel tempoh hari,” katanya.

Bagaimanapun, Nazmizan berpendapat, adalah lebih baik sekiranya KBS mengambil pendekatan serampang dua mata iaitu menghantar Azeem bersama-sama Khairul Hafiz ke luar negara menjalani latihan bersama.

AZEEM sebelum ini ditawarkan tiga pilihan oleh KBS bagi meneruskan kecemerlangan dalam karier.
AZEEM sebelum ini ditawarkan tiga pilihan oleh KBS bagi meneruskan kecemerlangan dalam karier.

“Selain Azeem dan Khairul Hafiz, kita masih banyak pelari yang bagus. KBS seharusnya tidak menidakkan peluang pelari yang lain. Jika boleh hantar mereka sekali ke luar negara.

“Namun jika faktor bajet menjadi kekangan, mungkin KBS boleh menghantar Azeem bersama Khairul Hafiz saja dulu.

“Azeem untuk jangka masa panjang manakala Khairul Hafiz sebagai persediaan ke Sukan SEA,” kata Nazmizan.

Terdahulu, Azeem diberi tempoh seminggu menyatakan pendiriannya terhadap tiga tawaran yang dikemukakan KBS.

Tiga tawaran berkenaan adalah berlatih di luar negara, dibawa ke Bukit Jalil sambil diberikan segala kemudahan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) atau pun kekal berlatih di Perak dengan segala bantuan akan disalurkan mengikut kehendak atlet itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:30 AM